Kura-kura Galapagos tertua Zoo San Diego, Gramma mati pada usia 141 tahun

SAN DIEGO – Setelah lebih satu abad menikmati makanan kegemaran seperti salad romaine dan buah kaktus, penghuni tertua Zoo San Diego, kura-kura Galapagos yang diberi nama Gramma ditemui mati pada 20 November lalu.
Gramma dilahirkan di habitat asalnya dan dianggarkan berusia kira-kira 141 tahun itu dikatakan menjadi salah satu haiwan tertua di dunia yang diketahui pernah hidup di zoo.
Tarikh tepat ketibaannya di Zoo San Diego tidak pasti, namun pegawai zoo menyatakan, haiwan itu dibawa dari Zoo Bronx, New York pada 1928 atau 1931 sebagai sebahagian daripada kumpulan pertama kura-kura Galapagos di situ.
Sepanjang hidupnya, Gramma menghiburkan pengunjung dengan personalitinya yang 'manis' dan pemalu.
Gramma yang menerima jolokan Ratu Zoo itu didakwa menyaksikan dua perang dunia dan 20 Presiden Amerika Syarikat sepanjang hayatnya.
Menurut pihak zoo, Gramma menghidap masalah tulang akibat usia lanjut dan keadaan kesihatannya merosot sebelum ia disuntik euthanasia.
Ramai pengunjung berkongsi kenangan di media sosial tentang lawatan pertama mereka menemui Gramma sewaktu kecil dan kembali bertahun-tahun kemudian bersama anak-anak mereka.
Cristina Park, 69, berkongsi, salah satu kenangan awalnya ialah memegang kura-kura di zoo ketika berusia tiga atau empat tahun.
Pengalaman tersebut memberi inspirasi kepadanya untuk memelihara kura-kura gurun kecil dan mendalami usaha pemuliharaan kura-kura.
Kura-kura Galapagos boleh hidup lebih 100 tahun di habitat semula jadi.
Harriet yang merupakan kura-kura Galapagos tertua yang diketahui hidup sehingga usia 175 tahun di Zoo Australia dikatakan lahir sekitar 1830 dan meninggal dunia pada tahun 2006.
Kura-kura Galapagos terdiri daripada 15 subspesies, tiga daripadanya telah pupus, sementara selebihnya berstatus terancam atau sangat terancam menurut International Union for Conservation of Nature (IUCN).
Usaha pemuliharaan secara intensif di habitat semula jadi telah menghasilkan lebih 10,000 anak kura-kura yang dilepaskan kembali ke alam liar sejak tahun 1965, termasuk beberapa subspesies yang hampir pupus berjaya diselamatkan.
Baru-baru ini, empat anak kura-kura Galapagos dilahirkan di Zoo Philadelphia buat pertama kalinya oleh pasangan yang masing-masing berusia sekitar 100 tahun.
Di Zoo Miami, kura-kura Galapagos Goliath menjadi bapa buat pertama kali pada usia 135 tahun, sekali gus mencatat sejarah baru dalam dunia zoo.-Agensi
Ringkasan AI
- Kura-kura Galapagos, Gramma yang merupakan penghuni tertua di Zoo San Diego ditemui mati pada 20 November 2025 pada usia kira-kira 141 tahun
- Gramma dibawa ke Zoo San Diego dari Zoo Bronx pada tahun 1928 atau 1931
- Gramma terkenal kerana personaliti yang manis dan pemalu dan didakwa menyaksikan dua perang dunia serta 20 Presiden Amerika Syarikat
- Disebabkan masalah tulang pada usia lanjut, keadaan kesihatan Gramma merosot sebelum disuntik euthanasia
- Kura-kura Galapagos boleh hidup melebihi 100 tahun dan usaha pemuliharaan telah menghasilkan lebih 10,000 anak kura-kura yang kembali dilepaskan ke alam liar sejak tahun 1965
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

