Tak dapat sambutan, anak Netanyahu turunkan harga jualan pangsapuri

Avner dan ayahnya Netanyahu berpelukan.Gambar dijana oleh AI. Foto Agensi
Avner dan ayahnya Netanyahu berpelukan.Gambar dijana oleh AI. Foto Agensi
A
A
A

OXFORD– Anak bongsu Perdana Menteri Israel, Avner Netanyahu, menurunkan harga permintaan pangsapuri tiga bilik tidurnya di kawasan mewah Oxford di United Kingdom (UK) hampir 20 peratus, mencerminkan kesukaran mendapatkan pembeli dalam pasaran hartanah UK.

Pangsapuri itu pada mulanya disenaraikan pada harga 620,000 pound sterling (RM3.39 juta) sembilan bulan lalu, kini dijual pada harga 500,000 pound sterling (RM2.73 juta).

Avner yang secara sah menggunakan nama keluarga nenek sebelah bapanya, Segal, sejak 2022 memberitahu akhbar kewangan Israel, Calcalist bahawa perubahan nama itu adalah langkah keselamatan.

Tanpa pengawalan rasmi, beliau bimbang dikenali sebagai anak Benjamin Netanyahu ketika berada di UK.

Pangsapuri tersebut dibeli pada Oktober 2022 pada harga 502,500 pound sterling (RM2.74 juta), menggunakan tunai sepenuhnya tanpa pinjaman, dengan wang dipercayai daripada ibu bapa beliau.

Pada masa itu, harga tersebut bersamaan kira-kira 1.98 juta shekel Israel (RM2.51 juta), sedikit di bawah ambang 2 juta shekel Israel (RM2.52 juta) yang mewajibkan pelaporan hartanah luar negara kepada Pihak Berkuasa Cukai Israel.

Avner tinggal di pangsapuri Oxford semasa menamatkan tahun pertama pengajian sarjana dalam sejarah Arab dan Arkeologi. Bagaimanapun, beliau kembali ke Israel selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, dan pangsapuri tersebut telah dipasarkan sejak Februari 2025. Dengan harga semasa 500,000 pound sterling (RM2.73 juta) beliau dijangka mengalami kerugian berbanding harga belian asal.

Pembelian pangsapuri itu menimbulkan kontroversi di Israel. Apabila butiran pembelian dan perubahan nama pertama kali dilaporkan oleh Calcalist pada Julai lalu, penapis tentera Israel mengarahkan artikel itu ditarik sementara dari internet – tindakan yang jarang berlaku bagi berita berkaitan keluarga ahli politik dan hartanah.

Artikel itu kemudiannya dibenarkan dikeluarkan selepas rundingan, namun beberapa maklumat penting telah dipadam, mencetuskan kritikan mengenai penggunaan langkah keselamatan negara bagi urusan peribadi keluarga. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Anak bongsu Perdana Menteri Israel, Avner Netanyahu, menurunkan harga pangsapuri tiga bilik tidurnya di Oxford sebanyak hampir 20 peratus
  • Pangsapuri itu dijual pada harga 500,000 pound sterling, turun dari 620,000 pound sterling
  • Avner menggunakan nama keluarga nenek sebelah bapanya, Segal, sebagai langkah keselamatan di UK
  • Pangsapuri tersebut dibeli tanpa pinjaman, dengan dana daripada ibu bapanya pada Oktober 2022
  • Kontroversi timbul di Israel berkenaan pembelian pangsapuri dan perubahan nama Avner, dengan tindakan penapisan oleh tentera Israel atas laporan berita tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!