Derita rakyat 7 tahun tiada air, calon GRS Sungai Manila akan cuba selesaikan

SANDAKAN - Masalah ketiadaan bekalan air bersih yang berlarutan sehingga tujuh tahun di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Manila akan menjadi keutamaan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya diberikan mandat.
Hazem Mubarak Tun Musa berkata, isu berkenaan merupakan antara tumpuan utamanya jika diberi peluang menjaga DUN tersebut.
Menurutnya, masalah itu jelas antara isu paling mendesak di kawasan berkenaan.
“Masalah seperti air itu ada sebuah kawasan sudah lama tiada air, tujuh tahun.
“Jadi kita juga mendengar bahawa tangki ada air, tapi tidak sampai ke rumah.
“Kalau mendapat mandat, saya akan cuba sedaya upaya untuk menyuarakan. Bukan saja menyuarakan tapi panggil Jabatan Air Negeri Sabah dan sebagainya untuk datang dan betul-betul melihat apakah punca sebenarnya masalah itu,” katanya dalam sidang media di Sandakan pada Sabtu.
Justeru itu, Hazem berharap diberikan ruang dan peluang menjaga DUN berkenaan 29 November ini.
Terdahulu, DUN Sungai Manila menyaksikan saingan enam penjuru membabitkan Irian Nanang (PIS), Sittinara Sakah (Warisan), Yusri Abu (PN), Zaini Tiksun (BN), Faizal Wahab (PPRS) dan Hazem Mubarak Musa (GRS).
Pada PRN16, calon BN, Datuk Mokran Ingkat memenangi kerusi DUN Sungai Manila dengan 4,585 undi dan majoriti 1,417 dalam saingan enam penjuru.
Ringkasan AI
- Masalah ketiadaan bekalan air bersih berlarutan sehingga tujuh tahun di DUN Sungai Manila menjadi keutamaan calon GRS
- Hazem Mubarak Tun Musa akan fokus menangani masalah bekalan air jika diberikan mandat
- Isu air bersih dilihat sebagai antara masalah paling mendesak di kawasan tersebut
- Calon berjanji untuk memanggil Jabatan Air Negeri Sabah untuk selesaikan masalah bekalan air
- PRN16 menyaksikan saingan enam penjuru di DUN Sungai Manila
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
