Pekerja kilang warga Nepal maut dihempap pintu pagar asrama

NIBONG TEBAL – Seorang lelaki warga Nepal maut selepas dihempap pintu pagar di sebuah asrama pekerja di Jalan Perusahaan, Kawasan Perindustrian Valdor, Sungai Jawi di sini awal pagi Rabu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.43 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Bhujel Ram, 37, ditemukan tidak sedarkan diri selepas pintu pagar premis itu menghempapnya ketika dia dipercayai cuba membukanya sendiri.
Tambahnya, menurut maklumat daripada pengawal premis dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dilihat membuka pagar tersebut ketika ketiadaan pengawal keselamatan yang sedang membuat rondaan di kawasan lain dalam premis berkenaan.
“Sepasukan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 4.43 pagi.
“Ketika tiba di lokasi, kita mendapati seorang mangsa ditemukan telah dihempap pintu pagar dan tidak sedarkan diri. Pasukan Keluaran Operasi (PKO) menjalankan kerja menyelamat dengan mengalihkan pintu pagar tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Katanya lagi, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang melibatkan 10 anggota serta satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.16 pagi,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga Nepal maut dihempap pintu pagar di Nibong Tebal
- Kejadian berlaku di asrama pekerja di Kawasan Perindustrian Valdor, awal pagi Rabu
- Mangsa, Bhujel Ram, berusia 37 tahun ditemukan tidak sedar selepas cuba membuka pintu pagar
- Pasukan JBPM bergegas ke lokasi dan menjalankan kerja-kerja menyelamat
- Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas KKM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

