PRN Sabah: Jangan terperangkap persepsi negatif terhadap PM — Dr Sathia

KOTA KINABALU – Kelompok tertentu dikesan sengaja mencipta gambaran negatif terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah walaupun hakikatnya beliau sedang membawa perubahan besar kepada negeri itu.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN) Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata, usaha menjejaskan imej Anwar tidak bersandarkan fakta kerana pentadbiran beliau jelas memperkukuhkan pengembalian hasil, meningkatkan peruntukan pembangunan dan memulihkan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.
Menurutnya, diplomasi Madani yang dipacu Anwar turut mengangkat semula reputasi negara di peringkat antarabangsa, bertentangan dengan persepsi yang cuba dibentuk pihak berkepentingan dalam negara.
“Rakyat Sabah perlu menilai rekod kerja sebenar, bukan retorik pihak yang hanya bermain persepsi politik sempit,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dr Sathia berkata, PRN Sabah kali ini memberi ruang kepada pengundi memilih calon berkaliber yang mampu membawa suara Sabah ke Putrajaya dengan sokongan langsung kepimpinan Anwar.
Menurutnya, tiga calon PH yang diselaras JPRN Selangor mempunyai kelebihan dan rekod kerja jelas masing-masing.
Di Sindumin, PH menampilkan bekas Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Yamani Hafez Musa yang pernah mengusulkan pelan jangka panjang termasuk cadangan pelabuhan antarabangsa, pembangunan Lumadan dan peningkatan jaringan logistik.
Untuk Inanam, Datuk Peto Galim dikenali sebagai pemimpin turun padang yang komited kepada projek mitigasi banjir Likas, penambahbaikan jalan, pembinaan Rumah Mesra Rakyat dan program memperkasa peniaga kecil.
Sementara itu di Moyog, calon anak tempatan, Remysta Jimmy Taylor mengetengahkan pendekatan ekonomi komuniti meliputi pelancongan homestay, pertanian bukit, perusahaan kecil dan isu tanah adat.
Beliau berkata, ketiga-tiga calon Yamani, Peto dan Remysta bukan sekadar calon, tetapi tenaga kerja yang mampu membawa suara rakyat Sabah terus ke peringkat nasional.
“Rakyat Sabah perlu memilih pemimpin berintegriti, berkeupayaan dan mempunyai hubungan kukuh dengan Kerajaan Persekutuan demi masa depan negeri,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kelompok tertentu mencipta gambaran negatif terhadap Anwar Ibrahim menjelang PRN Sabah
- Anwar meningkatkan pengembangan hasil, peruntukan pembangunan dan keyakinan pelabur asing
- Diplomasi Madani Anwar mengangkat reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa
- PRN Sabah memberi peluang memilih calon berkualiti dengan sokongan Anwar
- Tiga calon PH di Sabah menawarkan pelbagai inisiatif pembangunan dan ekonomi komuniti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

