'Jangan risau, Klopp akan setia'

Jurgen Klopp
Jurgen Klopp
A
A
A

BEKAS penyerang Liverpool, Emile Heskey percaya Jurgen Klopp akan terus setia bersama pasukan itu walaupun berpelung untuk mengendalikan pasukan gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona.

Menurutnya, tawaran sentiasa diajukan kepada Klopp untuk melatih dua pasukan tersebut dan pengendali kelahiran Jerman itu hanya perlu memilih antara kedua-dua kelab itu untuk mengembangkan lagi karier kejurulatihannya.

Bagaimanapun, Heskey mengakui Klopp tidak mudah terpengaruh dengan tawaran tersebut apatah lagi tugasnya di Anfield belum selesai.

"Klopp mempunyai pilihan untuk meninggalkan Liverpool dan menyertai Real atau Barcelona. Tetapi saya tidak rasa Klopp sudah menyelesaikan tugasnya bersama Liverpool.

"Liverpool ketika ini sedang meningkat, bakal berpindah ke pusat latihan baharu dan dikenali sebagai sebuah pasukan gergasi dunia mengatasi pasukan lain.

"Klopp meletakkan dia sebagai orang penting di situ dan dia mempunyai banyak perkara perlu dilakukan. Saya tidak rasa penyokong perlu risau Klopp akan meninggalkan kelab," katanya.

Reputasi Klopp selaku pengurus pasukan melonjak naik selepas prestasi cemerlangnya ketika membimbing Borussia Dortmund dan Liverpool sekali gus membuatkan dirinya menjadi buruan pasukan gergasi Eropah seperti Real dan Barcelona.

Namun, kontraknya sehingga 2024 bersama pasukan dari Merseyside itu mungkin 'menyelamatkan' seketika pengendali berusia 52 tahun itu daripada berpindah ke kelab Sepanyol.

Artikel Berkaitan:

Di Liverpool, Klopp berjaya memenangi Liga Juara-Juara musim lalu dan bakal menamatkan penantian 30 tahun pasukan itu untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Dalam pada itu, Heskey melihat tiada keperluan untuk membawa semula Philippe Coutinho menyertai Liverpool selepas pemain kelahiran Brazil itu meninggalkan kelab pada 2018.

"Liverpool tidak mudah untuk mengambil pemain semula menyertai mereka kecuali kes Robbie Fowler dan Ian Rush.

"Saya menghormatiya sebagai seorang pemain hebat, tetapi adakah dia mampu membantu Liverpool dengan tahap persembahannya ketika ini?" katanya.

Coutinho melalui persembahan tidak menentu selepas keluar daripada Liverpool, bergelut menyesuaikan diri bersama Barcelona dan menampilkan prestasi hambar ketika dipinjamkan ke kelab Jerman, Bayern Munich.