Tak pernah tolak bantuan tapi mesti ikut prosedur - Nadma

TUMPAT - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengalu-alukan sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), namun mestilah melalui prosedur yang ditetapkan.
Ketua Pengarah Nadma, Meor Ismail Meor Akim berkata, setakat ini pihaknya menerima satu aduan berkaitan penyelarasan bantuan daripada NGO ke satu PPS di negeri ini.
Berhubung perkara itu, beliau menjelaskan bahawa garis panduan yang dikuatkuasakan bukan bertujuan menyekat mana-mana pihak tetapi untuk mengelakkan keadaan tidak teratur di PPS.
“Kami alu-alukan bantuan, tak pernah tolak tapi mesti ikut prosedur.

“Ini bukan soal kawalan tapi penyelarasan supaya tidak bertindan sebab kadang-kala satu PPS terima terlalu banyak barang yang sama seperti air minuman, sedangkan PPS lain kekurangan,” katanya ketika melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geting di sini pada Selasa.
Pada Isnin, tular dakwaan di media sosial berhubung satu NGO yang dikatakan tidak dapat menyalurkan bantuan air mineral, makanan kering, set kebersihan diri untuk mangsa banjir di sebuah PPS di Bachok.
Meor Ismail berkata, mana-mana NGO yang ingin menghantar bantuan ke PPS perlu berhubung sama ada melalui Ketua Jajahan, Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) atau mendapatkan kelulusan Ketua Polis Daerah.
“Hubungi sahaja, mereka beroperasi 24 jam,” katanya lagi.
Mengulas mengenai bantuan kepada mangsa yang tidak berpindah ke PPS, beliau menjelaskan bahawa NGO bebas menyalurkan bantuan secara terus kepada keluarga terlibat.
Ringkasan AI
- Nadma mengalu-alukan sumbangan daripada NGO kepada mangsa banjir dengan prosedur yang ditetapkan
- Ada satu aduan berkaitan penyelarasan bantuan daripada NGO
- Prosedur bantuan bertujuan untuk mengelakkan keadaan tidak teratur di pusat pemindahan sementara
- NGO perlu berhubung dengan Ketua Jajahan, Pusat Kawalan Operasi Bencana atau Ketua Polis Daerah untuk menghantar bantuan
- NGO bebas menyalurkan bantuan secara terus kepada keluarga yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

