Everton benam United dengan 10 pemain

Pemain United, Kobbie Mainoo (kiri) cuba mengawal bola daripada dirampas oleh pemain Everton, Charly Alcaraz dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford. - Foto AFP
Pemain United, Kobbie Mainoo (kiri) cuba mengawal bola daripada dirampas oleh pemain Everton, Charly Alcaraz dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford. - Foto AFP
A
A
A

EVERTON menamatkan penantian 12 tahun untuk meraih kemenangan Liga Perdana Inggeris di laman Manchester United, meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain hampir sepanjang perlawanan dalam aksi penuh dramatik pada Selasa.

Kemenangan 1-0 di Old Trafford itu dicapai walaupun skuad The Toffees kehilangan pemain tengah, Idrissa Gueye seawal minit ke-13 selepas dilayangkan kad merah kerana menampar rakan sepasukan sendiri, Michael Keane.

Jaringan Kiernan Dewsbury-Hall pada separuh masa pertama menjadi pemisah kedua-dua pasukan, sekali gus menyaksikan pelawat berjaya melupakan insiden pertelingkahan pelik antara Gueye dan Keane di awal permainan.

United yang berpeluang melonjak ke tangga kelima jika menang, mendominasi penguasaan bola terutamanya pada babak kedua, namun jentera serangan tuan rumah kelihatan tumpul dan gagal menembusi benteng kental Everton.

Wira Everton, penjaga gol Jordan Pickford bertindak cemerlang melakukan beberapa aksi penyelamatan penting, termasuk menepis tandukan berbahaya Joshua Zirkzee ketika permainan berbaki 10 minit untuk mempertahankan kedudukan.

Kemenangan kedua di tempat lawan musim ini melonjakkan Everton mengatasi juara bertahan dan musuh setempat, Liverpool untuk menduduki tangga ke-11 liga.

Mereka kini berkongsi 18 mata dengan United yang berada pada kedudukan lebih atas hanya menerusi perbezaan gol.

Keputusan itu turut menamatkan rekod buruk pengurus Everton, David Moyes yang gagal mencatat kemenangan dalam 17 perlawanan terdahulu sebagai pengurus pelawat di Old Trafford.

Kali terakhir Everton menang di sana adalah pada 2013, ketika Moyes sendiri berada di bangku simpanan United.

Artikel Berkaitan:

"Malam ini kami berjaya menamatkan perlawanan dengan 10 orang, yang mana merupakan cara paling sukar untuk mendapatkan keputusan yang baik.

"Biar kita bersikap adil, Man United berada dalam prestasi yang agak baik ketika ini, jadi ia tidak akan mudah walaupun dengan 11 pemain. Maka, untuk melakukannya dengan 10 pemain adalah sesuatu yang hebat," kata Moyes.

Nasib malang Moyes di Old Trafford pada mulanya seakan-akan berterusan apabila pertahanan Seamus Coleman terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan seawal minit ke-10.

Ringkasan AI

  • Everton menamatkan penantian 12 tahun untuk meraih kemenangan Liga Perdana Inggeris di laman Manchester United dengan beraksi 10 pemain sepanjang perlawanan
  • Kemenangan 1-0 diperoleh walaupun Idrissa Gueye dilayangkan kad merah pada minit ke-13
  • Kiernan Dewsbury-Hall menjaringkan gol pada separuh masa pertama
  • Manchester United gagal menembusi pertahanan Everton meskipun mendominasi penguasaan bola
  • Jordan Pickford, penjaga gol Everton melakukan beberapa penyelamatan penting untuk mempertahankan kedudukan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!