AMLAC komited tingkat taraf integriti, tadbir urus dan kepimpinan beretika - Dzulkifli

WESTMINTER, London - Akademi AMLAC meraikan kejayaan pelajar 2025 dengan penganugerahan Diploma Profesional dalam Pengurusan Antirasuah Korporat (PD CAM) pada majlis konvokesyen yang berlangsung pada 22 November 2025 di House of Commons, Parlimen UK.
Majlis anjuran London Examinations Board (LEB) ini turut menyaksikan Mayor Broxbourne, Mayor Patsy Spears, menyampaikan sijil kepada para graduan sebagai simbol pengiktirafan global dalam bidang antirasuah dan anti-pengubahan wang haram.
Presiden Akademi AMLAC, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, hadir bagi menyokong para graduan dan menegaskan komitmen AMLAC dalam meningkatkan taraf integriti, tadbir urus dan kepimpinan beretika di peringkat serantau dan antarabangsa.
Dzulkifli dalam ucapannya berkata, pencapaian ini membuktikan bahawa profesional Malaysia mampu berdiri setaraf dengan yang terbaik di dunia.
"AMLAC akan terus memperjuangkan pendidikan yang memperkukuh integriti dan melindungi sistem kewangan daripada rasuah serta aktiviti haram," kata bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menambah pandangan tersebut, Pakar Reka Bentuk Pendidikan dari Kuala Lumpur International Education Consortium (KLiEC), Profesor Dr Azlan Alias berkata, program PD CAM AMLAC ini unik dan dirangka untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat dalam bidang antirasuah dan jenayah kewangan.
"Dengan sokongan KLiEC, profesional Malaysia bukan sahaja menerima ilmu bertaraf dunia, malah mampu bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.
Akademi AMLAC turut mengekalkan komitmen terhadap pengiktirafan inklusif dengan menawarkan dua pilihan konvokesyen, sama ada di London atau Kuala Lumpur.
Tahun ini, 11 graduan memilih London manakala selebihnya dijangka menghadiri konvokesyen Kuala Lumpur pada 2026.
PD CAM ialah program selama enam bulan dengan 36 kredit yang dijalankan melalui kerjasama UTM SPACE dan KLiEC, serta dianugerahkan oleh London Examinations Board (LEB).
Program ini merangkumi undang-undang antirasuah dalam negara, AML/CFT, pengurusan risiko rasuah, liabiliti korporat serta latihan industri yang dipandu pakar berpengalaman.
Permohonan bagi pengambilan PD CAM 2026 kini dibuka, e-mel ke amlacmarcoms@gmail.com untuk pendaftaran.
Ringkasan AI
- Akademi AMLAC meraikan kejayaan pelajar 2025 dengan penganugerahan Diploma Profesional dalam Pengurusan Antirasuah Korporat pada majlis konvokesyen di House of Commons, Parlimen UK
- Mayor Broxbourne, Mayor Patsy Spears, menyampaikan sijil kepada para graduan
- Presiden Akademi AMLAC, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, menegaskan komitmen akademi dalam meningkatkan taraf integriti dan kepimpinan beretika
- Program PD CAM dirangka untuk memenuhi permintaan global dalam bidang antirasuah dan jenayah kewangan
- PD CAM adalah program enam bulan dengan 36 kredit yang dijalankan melalui kerjasama UTM SPACE dan KLiEC, dianugerahkan oleh London Examinations Board
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

