APM Bachok redah banjir sedalam hampir semeter pindahkan pesakit strok ke hospital

BACHOK – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bachok meredah banjir sedalam 0.7 meter bagi membantu memindahkan seorang pesakit strok yang terlantar di Kampung Gelung Badak, Jelawat di sini pada Ahad.
Pegawai Pertahanan Awam Bachok, Leftenan (PA) Mohd Khairi Mat Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.46 petang daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat yang memaklumkan mengenai keadaan seorang lelaki berusia 63 tahun yang memerlukan bantuan ambulans untuk dibawa ke Hospital Bachok.
Menurutnya, laluan utama ke rumah pesakit berkenaan dinaiki air sedalam hampir satu meter, menyukarkan pergerakan ambulans untuk masuk ke kawasan tersebut.

“Empat anggota APM bersama sebuah ambulans digerakkan ke lokasi sejurus menerima aduan. Setibanya di situ, kami dimaklumkan bahawa sukarelawan J-Force ADUN Jelawat telah membawa mangsa keluar dengan bot ke kawasan yang lebih selamat.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak APM dan seterusnya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Ujar beliau, APM Bachok sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berikutan keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
“Orang ramai di kawasan berisiko banjir dinasihatkan agar sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan,” katanya.
Ringkasan AI
- APM Bachok membantu memindahkan pesakit strok di Kampung Gelung Badak semasa banjir
- Panggilan kecemasan diterima dari ADUN Jelawat untuk membantu lelaki berusia 63 tahun
- Ambulans sukar masuk ke kawasan rumah pesakit kerana air naik hampir satu meter
- Sukarelawan telah membawa mangsa keluar menggunakan bot sebelum diserahkan kepada APM
- APM sentiasa bersiap sedia menghadapi situasi kecemasan terutama semasa cuaca tidak menentu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

