UniMAP aktifkan bilik gerakan banjir, konvokesyen khas untuk pelajar terkandas

ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengaktifkan bilik gerakan banjir bagi memantau keselamatan dan kebajikan pelajarnya susulan insiden banjir yang menjejaskan beberapa kawasan di Perlis serta kejadian pelajar terkandas di Hatyai, Thailand.
Pusat Komunikasi Korporat UniMAP dalam satu kenyataan berkata, bilik gerakan itu berfungsi menyelaras maklumat terkini, selain memastikan setiap pelajar yang terkesan menerima bantuan segera termasuk keperluan kecemasan dan sokongan logistik.
Menurut universiti itu, pihaknya turut berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla bagi memastikan pelajar UniMAP yang berada di Hatyai mendapat bantuan sewajarnya sepanjang tempoh banjir di kawasan berkenaan.
“UniMAP sentiasa meneliti keadaan semua pelajar yang terjejas sama ada di Perlis mahupun di luar negara, dan mengambil langkah proaktif untuk memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara,” katanya pada Isnin.
Dalam pada itu, UniMAP juga akan menganjurkan Istiadat Konvokesyen Khas bagi graduan yang terkandas di Hatyai supaya mereka tidak terlepas peluang menerima pengiktirafan akademik secara rasmi.

“Konvokesyen khas ini dianjurkan sebagai komitmen UniMAP memastikan setiap graduan diraikan tanpa mengira situasi luar jangka yang mereka hadapi,” ujarnya.
Sehubungan itu, pelajar dan keluarga yang berdepan kesulitan diminta menghubungi Taskforce Bencana Universiti atau talian bantuan yang disediakan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Jawatankuasa Eksekutif Siswa (JKES) UniMAP.
Untuk pertanyaan atau bantuan boleh berhubung dengan Syahmi di talian 018-4099711, Fasihah (011-26085176) atau Bilik Gerakan JKES di 04-9414417.
Ringkasan AI
- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengaktifkan bilik gerakan banjir untuk memantau keselamatan dan kebajikan pelajar susulan banjir di Perlis dan pelajar terkandas di Hatyai
- Bilik gerakan berfungsi menyelaras maklumat dan memastikan pelajar yang terkesan menerima bantuan segera
- UniMAP berhubung dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla untuk bantuan pelajar di Hatyai
- UniMAP menjaga kebajikan pelajar terjejas di Perlis dan luar negara, termasuk penganjuran Istiadat Konvokesyen Khas bagi graduan terkandas
- Pelajar dan keluarga yang berdepan kesulitan boleh menghubungi Taskforce Bencana Universiti atau talian bantuan yang disediakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

