X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Peluang untuk berhenti merokok

Gambar hiasan - Foto 123rf
A
A

PADA ketika ini, wabak Covid-19 semakin luas merebak di seluruh dunia tanpa mengenal sempadan.

Pakar-pakar kesihatan di seluruh dunia telah mula mengenal pasti kumpulan-kumpulan individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti dan berkemungkinan mengalami komplikasi teruk Covid-19 sehingga boleh membawa kematian.

Oleh itu, salah satu cara untuk mengurangkan kadar kematian Covid-19 di Malaysia adalah dengan mengatur strategi agar individu-individu yang dikenalpasti ini dapat dilindungi dan tidak dijangkiti virus Covid-19.

Individu-individu yang telah dikenalpasti mempunyai risiko tinggi ini perlu melaksanakan langkah-langkah pencegahan yang maksima bagi menggelakkan mereka dijangkiti virus Covid-19.

Golongan berisiko tinggi yang telah dikenal pasti dari awal bermulanya wabak ini di Wuhan, China adalah GOLONGAN PEROKOK.

Satu kajian dan penelitian telah dijalankan terhadap 78 pesakit Covid-19 di Wuhan pada 30 Disember 2019 sehingga 15 Januari 2020.

Kesemua 78 pesakit ini, dikategorikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan yang pulih dan kumpulan yang tenat /meninggal dunia.

Penelitian ini berdasarkan perkembangan status kesihatan selepas dua minggu mendapat rawatan di hospital (Liu et al., 2020).

Hasil kajian tersebut mendapati, peratus perokok di dalam kumpulan yang tenat/meninggal adalah lebih tinggi (27.3%) berbanding di dalam kumpulan yang pulih (3.0%).

Purata umur bagi kumpulan yang tenat/meninggal juga adalah di kalangan pesakit yang lebih berusia iaitu 66 tahun berbanding purata umur kumpulan yang pulih iaitu 37 tahun.

Kesimpulan daripada penelitian ini adalah golongan yang berusia berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan risiko ini meningkat dengan risiko merokok.

Kajian Tinjuan Morbiditi Kebangsaan Malaysia menganggarkan lebih 350, 000 orang tergolong di dalam kedua-dua risiko tersebut iaitu berumur 60 tahun dan ke atas serta merupakan perokok.

Mereka ini diseru untuk memulakan langkah agar mematuhi sepenuhnya Perintah Larangan Pergerakan yang telah dikuatkuasakan oleh Kerajaan Malaysia serta mengambil tindakan berhenti merokok atau berdepan dengan risiko jangkitan serta komplikasi sehingga boleh membawa kepada kematian.

Terdapat juga bukti fisiologi yang menyokong dan menjelaskan mengapa perkara tersebut berlaku.

Kajian genetik dan mikrobiologi telah mendapati merokok boleh meningkatkan bilangan tapak penerima atau reseptor yang dinamakan Angiotensin-Converting Enzyme-2 (ACE2) di dinding paru-paru seorang perokok (Brake et al, 2020).

Kajian tersebut menunjukkan bahawa perokok mempunyai bilangan tapak penerima atau reseptor ACE2 yang lebih banyak berbanding mereka yang tidak pernah merokok.

Tapak penerima atau reseptor ACE2 inilah yang membolehkan virus Covid-19 lebih tertarik untuk memasuki sel-sel paru-paru manusia yang ia jangkiti.

Setelah berjaya memasuki sel paru-paru manusia melalui tapak penerima ini, virus tersebut akan terus membiak dengan menambahkan bilangannya dan akhirnya memusnahkan sel yang dijangkiti.

Virus –virus yang membiak dengan banyaknya akan terus menjangkiti sel-sel paru-paru yang lain.

Bagi perokok, kewujudan lebih banyak tapak penerima atau reseptor ACE2 ini menyebabkan lebih banyak virus boleh masuk ke dalam sel-sel paru-paru dan lebih banyak kemusnahan selsel paru-paru boleh berlaku (Brake et al., 2020).

Illustrasi dibawah menunjukkan bilangan tapak penerima atau reseptor ACE2 yang lebih banyak dalam kalangan perokok.

Ibaratnya, seseorang perokok seolah-olah sedang memakai banyak lampu lip-lap semasa hari perayaan untuk menarik perhatian dan memanggil-manggil virus Covid-19 bagi menjemput mereka masuk untuk menjangkiti tubuh mereka.

Oleh itu, dunia perlu berubah mengikut peredaran zaman. Tabiat merokok sememangnya telah dibuktikan berbahaya dengan pelbagai komplikasi penyakit juga memberikan kesan buruk jika perokok dijangkiti Covid-19.

Tabiat merokok sudah tiada tempat lagi untuk kelestarian penduduk dunia kini.

Dengan mempunyai jumlah perokok yang dianggarkan 5 juta orang negara kita Malaysia bakal menerima ancaman jangkitan ini jika tidak dicegah dari awal.

Kepada semua perokok, fikirkan sejenak. Ambil langkah untuk berhenti merokok.

Mungkin inilah hikmah di sebalik wabak Covid-19 ini untuk kita berubah menjadi insan yang lebih menjauhi kemudaratan merokok.

Peliharalah kesihatan anda demi diri sendiri dan keluarga tercinta yang masih mengharapkan keberadaan anda tatkala di dalam waktu-waktu genting semasa wabak seperti ini sedang berlaku.

*Zainal Arriffin Omar Siti Nurbaya Shahrir merupakan pakar perubatan kesihatan Awan, Projek Sunrise