PH gariskan lapan komitmen manifesto Harapan Urang Sabah

KOTA KINABALU - Pakatan Harapan (PH) Sabah melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri ke-17 dengan mengetengahkan tema Harapan Urang Sabah (Haus) yang merangkumi lapan komitmen utama bagi kesejahteraan rakyat negeri ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, komitmen pertama yang diberi penekanan adalah tuntutan dan pengurusan 40 peratus hasil Sabah agar disalurkan sebaiknya kepada rakyat.
Selain itu, katanya, PH Sabah turut berikrar memastikan hak Sabah terjamin melalui penubuhan Sabah Sovereign Wealth Future Fund.
“Komitmen ketiga menyentuh aspek akauntabiliti dengan memperkenalkan Jawatankuasa Pilihan Khas Dewan Undangan Negeri merentas blok dan diberi kuasa untuk memanggil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi bagi sesi soal jawab terbuka.
“Keempat, reformasi pentadbiran Sabah melalui penstrukturan semula Kabinet,” katanya pada Majlis Pelancaran Komitmen PH Sabah di sini pada Ahad.
Menurut Mustapha, komitmen kelima memberi tumpuan kepada golongan muda melalui penyediaan 20,000 peluang pekerjaan serta elaun sara hidup RM1,200 setahun.
Katanya lagi, PH Sabah turut menekankan pembangunan industri bernilai tinggi menerusi aktiviti hiliran sektor gas, balak, kelapa sawit, pasir silika, agro-maritim dan pemprosesan makanan laut sebagai komitmen keenam.
“Ketujuh, agenda pemerkasaan wanita dengan memastikan 30 peratus penglibatan wanita dalam Kabinet Sabah, GLC dan kepimpinan tempatan.
“Terakhir, agenda Sabah Maju Bersama Malaysia Madani iaitu Sabah menjadi pemain utama serantau melalui kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.
Beliau menegaskan PH Sabah tidak menjanjikan bulan dan bintang, sebaliknya menawarkan dasar yang realistik dan boleh dilaksanakan demi rakyat.
Justeru, beliau berharap komitmen berkenaan dapat diterima rakyat Sabah seterusnya menyokong Pakatan Harapan.
Ringkasan AI
- Pakatan Harapan Sabah melancarkan manifesto dengan tema Harapan Urang Sabah
- Tuntutan pengurusan 40 peratus hasil negeri bagi kebaikan rakyat
- Pendirian Sabah Sovereign Wealth Future Fund untuk memastikan hak Sabah
- Reformasi pentadbiran melalui penstrukturan semula Kabinet
- Menawarkan 20,000 peluang pekerjaan untuk golongan muda dan elaun sara hidup RM1,200 setahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
