Tiga suspek kes curi kabel diberkas polis

Tiga lelaki warga tempatan berjaya ditahan manakala seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri.
Tiga lelaki warga tempatan berjaya ditahan manakala seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri.
A
A
A

BALIK PULAU - Polis menahan tiga lelaki dan merampas peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel selepas kenderaan dinaiki suspek terbabas ketika cuba melarikan diri dalam kejadian di susur keluar Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Ahad .

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee berkata, perbuatan jenayah kumpulan lelaki berkenaan dikesan orang awam ketika mereka dipercayai mencuri kabel berhampiran sebuah kedai tayar di kawasan Botanica City, Jalan Air Putih, di sini pada jam 4.30 pagi.

Menurutnya, pengadu melaporkan kepada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya mengenai sebuah Perodua Bezza warna coklat bersama empat lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Kumpulan lelaki berkenaan dipercayai sedang melakukan kegiatan mencuri kabel sebelum cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan peronda (MPV) polis.

"Suspek bertindak memecut laju kenderaan untuk melarikan diri dan beberapa pasukan bantuan turut digerakkan bagi memintas kereta mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun, Azizee berkata, kereta suspek dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di susur keluar jambatan arah Seberang Perai Selatan.

Katanya, tiga lelaki warga tempatan berjaya ditahan manakala seorang lagi suspek berjaya meloloskan diri dan sedang dikesan polis.

Tambahnya, kenderaan dan peralatan yang dirampas dibawa ke IPD Barat Daya untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379, Seksyen 511 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan selain polis menjalankan siasatan secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Polis menahan tiga lelaki dan merampas peralatan untuk kegiatan mencuri kabel di Balik Pulau
  • Kegiatan jenayah dikesan oleh orang awam di kawasan Botanica City, Jalan Air Putih
  • Suspek dalam Perodua Bezza coklat berusaha melarikan diri bila polis muncul
  • Kenderaan suspek terbabas ketika cuba melarikan diri dan akhirnya tertangkap
  • Tiga warga lokal berhasil ditahan sementara seorang lagi masih diburu polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!