PKP: TNB beri jaminan bekalan elektrik stabil

Shamsul Anuar mendengar taklimat kesiapsiagaan TNB hadapi PKP di Bangsar di sini hari ini.
Shamsul Anuar mendengar taklimat kesiapsiagaan TNB hadapi PKP di Bangsar di sini hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bekalan elektrik di seluruh negara termasuk di hospital dan klinik luar bandar stabil sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, sebagai langkah proaktif, sebanyak 79 set janakuasa bergerak dengan pelbagai kapasiti di seluruh negara ditempatkan sebaik PKP mula dilaksanakan.

Menurutnya, set janakuasa mudah alih juga digerakkan dan kesemuanya berada dalam keadaan bersedia sekiranya diperlukan.

"Saya telah melihat persiapan yang dilakukan TNB dan saya yakin dengan usaha mereka.

"Tentunya ketika rakyat Malaysia mematuhi perintah untuk berada di rumah, warga kerja TNB berperanan penting memastikan bekalan elektrik yang stabil dapat dinikmati semua," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Pusat Kawalan Wilayah Selatan dan Metro (MSRCC) dan National Load Dispatch Centre (NLDC) di Ibu Pejabat TNB Bangsar di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Datuk Ir Baharin Din, Ketua Pegawai Grid TNB, Datuk Ir Husaini Husin dan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Wira Roslan Ab Rahman.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, sistem bekalan elektrik di hospital yang menjadi pusat perubatan bagi menangani wabak koronavirus (Covid-19) turut diperkukuhkan.

Artikel Berkaitan:

"Antaranya Hospital Sungai Buloh dan Hospital Kuala Lumpur," katanya.