Op Sohor tiada kaitan isu persaraan pegawai tertinggi ATM

Azam
Azam
A
A
A

KUALA LUMPUR – Op Sohor yang melibatkan pembanterasan sindiket penyeludupan barang larangan termasuk dadah dan rokok tidak mempunyai sebarang kaitan dengan persaraan dua pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menegaskan perkara itu susulan laporan yang cuba mengaitkan operasi berkenaan dengan keputusan persaraan Panglima ATM, Tan Sri Mohd Nizam Jaafar serta Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Datuk Mohd Razali Alias.

"Siasatan Op Sohor tiada kena mengena dengan persaraan mereka berdua.

"SPRM juga tidak mempunyai maklumat berkaitan persaraan mereka," katanya pada Sabtu.

Menurut Azam, siasatan Op Sohor masih berjalan dan beberapa pertuduhan sudah dibuat terhadap individu-individu yang ditahan dalam operasi berkenaan.

Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, turut menafikan dakwaan yang mengaitkan persaraan dua tokoh tertinggi ATM dengan Op Sohor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal yang cuba mengaitkan persaraan berkenaan dengan penahanan 10 individu termasuk pegawai tentera yang disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah pada Ogos lalu.

Menurut Mohamed Khaled, kedua-dua pegawai kanan ATM itu akan bersara mengikut umur persaraan wajib seperti biasa tahun hadapan.

Mohd Nizam dijadual mula bercuti pada 1 Januari 2026 sebelum bersara wajib pada Ogos, manakala Mohd Razali bakal bersara pada Disember 2026.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan, SPRM menahan lima pegawai perisik tentera sekali gus melumpuhkan sindiket penyeludupan yang dipercayai didalangi pegawai kanan ATM.

Turut direman, dua wartawan dan seorang wanita warga asing, menjadikan keseluruhan 10 individu ditahan melalui pelaksanaan Op Sohor.

Ringkasan AI

  • Op Sohor adalah operasi pembanterasan sindiket penyeludupan termasuk dadah dan rokok
  • Persaraan dua pegawai tertinggi ATM tiada kaitan dengan siasatan Op Sohor
  • SPRM menjelaskan tiada maklumat mengenai persaraan dua pegawai tertinggi ATM dan siasatan masih berjalan
  • Beberapa pertuduhan telah dibuat terhadap individu yang ditahan dalam Op Sohor
  • Dakwaan yang cuba mengaitkan persaraan dua tokoh ATM dengan Op Sohor telah dinafikan oleh Menteri Pertahanan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!