Pekerja Bangladesh maut terkena kepingan 'formwork'

BAYAN LEPAS – Seorang pekerja lelaki warga Bangladesh maut selepas terkena kepingan struktur acuan (formwork) yang jatuh dari tingkat lapan di sebuah tapak pembinaan di sini pada 15 November lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai 'spotter' atau 'standby person' sedang mengawal kawasan larangan semasa kerja pemunggahan struktur acuan dijalankan di bahagian atas sebelum terkena objek berkenaan.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hairozie Asri berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
"Kita telah mengeluarkan Notis Larangan kepada pihak terlibat dan mengarahkan semua kerja pembinaan di seluruh tapak dihentikan serta-merta sehingga siasatan selesai.
“JKKP Pulau Pinang sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan memastikan risiko kejatuhan objek dapat dikawal sepenuhnya. Tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat perlanggaran undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, pasukan JKKP turut menjalankan pemeriksaan lanjut di lokasi bagi menilai tahap pematuhan keselamatan di tapak tersebut.
"JKKP memandang serius setiap insiden tempat kerja yang mengorbankan nyawa dan semua majikan wajib mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Majikan bertanggungjawab memastikan langkah-langkah kawalan risiko dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
"Kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan sekiranya didapati terdapat pelanggaran peruntukan undang-undang,” katanya.
Ringkasan AI
- Pekerja warga Bangladesh maut terkena struktur acuan yang jatuh di tapak pembinaan Bayan Lepas
- Mangsa bekerja sebagai 'spotter' saat insiden berlaku jam 11.40 pagi, 15 November
- Meninggal di hospital akibat kecederaan parah pada kepala
- JKKP Pulau Pinang telah mengeluarkan Notis Larangan dan menghentikan semua kerja pembinaan di tapak tersebut
- Siasatan terperinci sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan memastikan keselamatan di tempat kerja
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

