Mayat wanita ditemui bawah lori terbakar

KOTA TINGGI - Mayat seorang wanita ditemukan di bawah lori yang terbakar dalam kemalangan di Kilometer 26, Jalan Lok Heng-Mawai pada petang Khamis yang mengorbankan pemandu kenderaan tersebut.
Mangsa ditemui ketika operasi mengangkat lori berkenaan pada petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, mangsa dipercayai merupakan kakak angkat lelaki tersebut.

"Pada tengah malam semalam, polis dimaklumkan oleh keluarga mangsa, terdapat seorang lagi mangsa bersama pemandu lelaki tersebut iaitu perempuan merupakan kakak angkatnya.
"Pada kira-kira jam 4.30 petang, mayat penumpang tersebut telah berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum itu, seorang lelaki dilaporkan rentung selepas lori dipandu terbakar dan dalam kejadian kira-kira jam 4.35 petang Khamis.
Yusof berkata, nahas tersebut melibatkan sebuah lori jenis Volvo yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung dan terbakar.
Katanya, mangsa yang memandu lori berkenaan mengalami kecederaan parah akibat kebakaran melibatkan keseluruhan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tambahnya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ringkasan AI
- Mayat wanita ditemukan di bawah lori yang terbakar dalam kemalangan di Kota Tinggi
- Mangsa ditemui semasa operasi mengangkat lori pada petang Jumaat
- Mangsa dipercayai merupakan kakak angkat pemandu lori tersebut
- Seorang lelaki dilaporkan rentung dalam kejadian yang sama pada hari Khamis
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

