UiTM raih pengiktirafan global di Business Excellence Awards 2025

SHAH ALAM - Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dinobatkan sebagai Naib Johan (First Runner-Up) bagi kategori UK–Malaysia Partnership of the Year di 6th British Malaysian Chamber of Commerce (BMCC) Business Excellence Awards 2025 pada Khamis.
UiTM dalam kenyataan memaklumkan, anugerah tersebut diberikan bagi mengiktiraf kerjasama dua hala antara organisasi dari United Kingdom dan Malaysia yang berjaya mewujudkan nilai strategik, inovasi pendidikan, pembangunan modal insan serta memberi impak kolaborasi berterusan.
“UiTM menerima pengiktirafan itu hasil kerjasama strategik selama 58 tahun bersama Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), yang disifatkan sebagai antara hubungan akademik antarabangsa paling kukuh dan mampan,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, sepanjang kerjasama sejak 1967, ACCA-UiTM telah melahirkan lebih 12,000 affiliates dan ahli ACCA, menjadikan UiTM antara penyumbang terbesar kepada profesion perakaunan global.
“Graduannya kini berkhidmat di firma Big Four, GLC, sektor awam, industri kewangan dan institusi dasar negara,” jelas UiTM.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin berkata, pencapaian tersebut membuktikan komitmen warga Fakulti Perakaunan dalam memperkukuh jaringan akademik dan kerjasama antarabangsa, sekali gus terus mengangkat nama UiTM di peringkat dunia.
UiTM turut menzahirkan penghargaan kepada ACCA atas hubungan kerjasama hampir enam dekad yang menyumbang kepada peningkatan kualiti pendidikan dan pembangunan bakat negara.
Ringkasan AI
- Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA dinobatkan sebagai Naib Johan di 6th British Malaysian Chamber of Commerce Business Excellence Awards 2025
- Anugerah itu mengiktiraf kerjasama dua hala antara organisasi dari United Kingdom dan Malaysia
- UiTM mempunyai hubungan kerjasama strategik 58 tahun dengan Association of Chartered Certified Accountants
- Kerjasama ACCA-UiTM telah melahirkan lebih 12,000 affiliates dan ahli ACCA
- Pencapaian ini membuktikan komitmen Fakulti Perakaunan UiTM dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
