Carsome Academy diiktiraf Malaysia Education & TVET Awards 2025

SHAH ALAM – Cabang pendidikan Kumpulan Carsome Inc (Carsome), Carsome Academy menerima pengiktirafan berprestij TVET Centre of Excellence Award (Automotive Technical Education) sempena Malaysia Education & TVET Awards 2025 baru-baru ini.
Pencapaian itu menandakan satu lagi mercu tanda penting dalam usaha Carsome Academy memperkukuh pendidikan dan latihan kemahiran dalam sektor automotif.
Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Academy, Teoh Jiun Ee berkata, anugerah tersebut adalah pengiktirafan terhadap dedikasi tenaga pengajar dan pelajar yang tidak berbelah-bahagi.
“Pada masa sama, ia juga sebagai sokongan misi kami untuk memperkasa anak muda Malaysia melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam negara.
“Ramai graduan kami datang daripada komuniti B40 dan kejayaan mereka membina keyakinan serta kerjaya dalam industri automotif merupakan pencapaian terbesar kami,” katanya.

Beliau yang juga Pengasas Bersama Kumpulan Carsome berkata, pengiktirafan itu membuktikan komitmen dalam menyokong aspirasi Malaysia untuk membangunkan tenaga kerja mahir yang akan memacu masa depan industri automotif.
Anugerah yang dianjurkan oleh penerbitan yang diluluskan Kementerian Dalam Negeri, Education + TVET Asia itu bertujuan menghargai institusi pendidikan.
Pada masa sama, TVET menunjukkan kecemerlangan dan menyokong agenda nasional TVET Malaysia ke arah melahirkan tenaga kerja mahir sejajar dengan aspirasi Ekonomi Madani.
Sebagai institusi TVET yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran dan penyedia latihan bertauliah oleh Pembangunan Sumber Manusia Berhad, Carsome Academy menawarkan program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang teknologi automotif dengan pendekatan 30 peratus teori serta 70 peratus latihan praktikal.
Melalui latihan di lebih 100 lokasi rakan industri, pelajar didedahkan dengan pengalaman praktikal yang mencerminkan situasi sebenar dalam industri automotif.
Selain pendedahan industri, pelajar juga menerima tiga sijil yang diiktiraf industri iaitu Sijil Kemahiran Carsome, Sijil Kemahiran Insaniah Carsome Academy dan Sijil Kemahiran Malaysia yang akan memperkukuhkan peluang kerjaya mereka.
Selain latihan teknikal, Carsome Academy turut menekankan pembangunan menyeluruh dengan melengkapkan pelajar melalui kursus kemahiran insaniah.
Akademi berkenaan juga menawarkan latihan berkaitan kenderaan elektrik (EV), program komuniti Car Care 101 yang bertujuan untuk memperkasakan wanita, pelajar universiti, pekerja gig dan kursus keselamatan jalan raya.
Bagi menyokong usaha tersebut, Carsome Academy turut menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Yayasan Menteri Besar Selangor dan Yayasan Raja Muda Selangor bagi memastikan lebih ramai pelajar daripada komuniti B40 mendapat manfaat pendidikan.
Sejak penubuhannya pada tahun 2021, Carsome Academy telah melatih lebih 8,000 pelajar dan melahirkan graduan yang diiktiraf industri.
Dengan kadar penempatan kerja mencecah 95 peratus dalam tempoh tiga bulan selepas tamat pengajian dan lebih 92 peratus daripada jumlah itu datang daripada golongan B40, pencapaian tersebut membuktikan pendidikan TVET mampu membuka peluang kerjaya serta mengubah kehidupan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

