SPRM nafi keluarkan mesej larangan terbabit rasuah di WhatsApp

KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan ada mengeluarkan mesej peringatan larangan terbabit rasuah menerusi aplikasi WhatsApp sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Dalam satu kenyataan rasmi, SPRM memaklumkan bahawa sebarang hebahan hanya disalurkan melalui platform sah milik suruhanjaya itu termasuk penyiaran melalui media arus perdana.
“Orang ramai perlu berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan mesej yang tidak diketahui sumbernya kerana dibimbangi dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab bagi tujuan tertentu.
“SPRM ingin mengingatkan calon serta pengundi supaya tidak terbabit dalam sebarang bentuk perbuatan jenayah rasuah. Sekiranya berlaku, maklumat boleh disalurkan segera kepada SPRM,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
SPRM turut memaklumkan bahawa Bilik Gerakan SPRM telah beroperasi sejak 10 November lalu di lima lokasi di Sabah iaitu di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Keningau.
Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat atau membuat rujukan menerusi saluran rasmi SPRM seperti Portal SPRM, Portal Aduan Rasuah, talian bebas tol 1-800-88-6000 atau aplikasi MACC Mobile.
Ringkasan AI
- SPRM menafikan mengeluarkan mesej peringatan rasuah melalui WhatsApp sempena PRU DUN Sabah
- Hebahan rasmi SPRM hanya melalui platform sah dan media arus perdana
- Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan mesej tidak diketahui sumber
- SPRM mengingatkan calon dan pengundi menjauhi perbuatan jenayah rasuah
- Bilik Gerakan SPRM beroperasi di lima lokasi di Sabah dan maklumat boleh disalurkan melalui saluran rasmi SPRM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

