Selangor perkenal fi kelestarian kepada pengunjung bermula tahun depan

Suee Lim semasa ucapan penggulungan pada Sidang DUN Selangor.
Suee Lim semasa ucapan penggulungan pada Sidang DUN Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor bakal memperkenalkan fi kelestarian kepada pengunjung bermula 1 Januari 2026 bagi memastikan kelestarian warisan dan alam sekitar terus terpelihara

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, mekanisme kutipan akan dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala pihak hotel hanya berperanan sebagai pengurus.

"Fi ini tidak membebankan pengunjung dan harga ditetapkan mengikut jenis penginapan iaitu RM7 untuk hotel lima bintang, RM5 untuk hotel empat bintang, RM3 untuk hotel tiga bintang dan RM2 untuk homestay atau AirBNB,” katanya semasa sesi penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Jumaat.

Suee Lim berkata, langkah itu selaras dengan negeri dan tempat pelancongan lain yang telah mengenakan caj kelestarian termasuk Melaka, Pulau Pinang, Pahang, Langkawi, Perak dan Negeri Sembilan.

Menurut beliau, hasil kutipan akan dimasukkan ke dalam satu tabung khas yang akan diuruskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bagi disalurkan kembali kepada industri pelancongan untuk aktiviti pemuliharaan dan pembangunan infrastruktur.

Selain itu, beliau turut mengumumkan inisiatif 'Surprising Selangor' sempena Tahun Melawat Selangor 2025 yang akan disambung sehingga 2026.

Menurut beliau, setakat suku kedua tahun ini, negeri itu berjaya menerima 4.14 juta pelancong bermalam sekurang-kurangnya sehari dengan sasaran 8 juta pelancong menjelang hujung tahun.

“Jumlah pelawat harian pula dianggarkan 34.5 juta, namun angka yang direkodkan oleh Tourism Selangor adalah berbeza kerana hanya mengambil kira pengunjung yang menginap sekurang-kurangnya satu malam,” jelasnya.

Beliau menambah, kerajaan negeri menyasarkan pendapatan daripada pelancongan sebanyak RM15 bilion dengan usaha meningkatkan bilangan pelancong bermalam dan memastikan setiap pelawat mengeluarkan resit perbelanjaan sah.

Artikel Berkaitan:

"Pelancongan merupakan salah satu industri paling cepat berkembang dan menyumbang kepada ekonomi negeri.

"Inilah sebabnya kita perlu memastikan setiap langkah diambil dapat memberikan manfaat kepada rakyat Selangor,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Selangor akan memperkenalkan fi kelestarian untuk pengunjung mulai 1 Januari 2026
  • Fi akan dikutip oleh pihak berkuasa tempatan, dengan kadar bergantung pada jenis penginapan
  • Tujuan kutipan adalah untuk pemuliharaan warisan dan alam sekitar
  • Hasil kutipan akan dimasukkan ke dalam tabung khas untuk disalurkan kembali kepada industri pelancongan
  • Kerajaan negeri menyasarkan pendapatan dari pelancongan sebanyak RM15 bilion

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!