Petra lulus 48 projek hijau, dijangka jana pelaburan bernilai RM1.87 bilion

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transfromasi Air (Petra)
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transfromasi Air (Petra)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Madani terus memacu agenda tenaga boleh baharu (TBB) apabila sebanyak 48 projek tenaga hijau diluluskan di bawah mekanisme Tarif Galakan (Feed-in Tariff/FiT) dengan jumlah kapasiti keseluruhan mencecah 181.25 megawatt (MW).

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, kelulusan itu membabitkan projek yang menjana tenaga daripada sumber biogas, biojisim dan hidrokuasa kecil.

"Projek-projek ini dijangka menjana pelaburan bernilai RM1.87 bilion dan akan membekalkan tenaga elektrik hijau kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) seawal tahun 2028," kata kenyataan itu.

Menurut Petra, sebanyak 59 permohonan diterima dalam tempoh permohonan dari 15 Januari hingga 19 Februari lalu, namun hanya 48 permohonan yang menepati kriteria teknikal dan kewangan telah diluluskan.

Jelas kementerian itu, kelulusan tersebut merangkumi 20 projek (30.93MW) sumber biogas, lapan projek (53.50MW) sumber biojisim dan 20 projek (96.82MW) sumber hidrokuasa kecil.

Tambah kenyataan itu, pelaksanaan projek TBB ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk meningkatkan kapasiti campuran TBB kepada 70 peratus menjelang 2050.

"Usaha ini turut memperkukuh daya harap bekalan elektrik negara melalui kepelbagaian sumber penjanaan tenaga yang lebih konsisten," katanya.

Maklumat penuh mengenai keputusan e-bidding itu boleh dirujuk di laman web SEDA Malaysia menerusi pautan www.seda.gov.my.

Petra yakin langkah ini akan menjadi pemangkin pertumbuhan sektor TBB negara secara progresif, seiring aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kemampanan, inovasi dan kesejahteraan bersama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!