Tahun Melawat Malaysia 2026: Resorts World Genting, Tourism Malaysia jalin kerjasama strategik

Tiong King Sing (empat dari kanan) bergambar bersama selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan sidang media antara Tourism Malaysia dan Resorts World Genting di Resorts World Awana, hari ini. Foto Bernama
Tiong King Sing (empat dari kanan) bergambar bersama selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan sidang media antara Tourism Malaysia dan Resorts World Genting di Resorts World Awana, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

GENTING HIGHLANDS – Resorts World Genting (RWG) memeterai kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia bagi memperkukuh agenda pelancongan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG, Spencer Lee berkata, kerjasama tersebut menegaskan komitmen RWG dalam menyokong pelan pembangunan pelancongan negara melalui tarikan bertaraf dunia, hospitaliti unggul dan pengalaman eko-mampan.

“MoU ini merupakan satu pencapaian penting bagi RWG dalam usaha bekerjasama dengan Tourism Malaysia bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Kami teruja untuk mempamerkan tawaran ekopelancongan dan edupelancongan kami, menyediakan pengalaman bermakna kepada pengunjung dari dalam dan luar negara,l serta meraikan kekayaan semula jadi dan budaya Malaysia,” katanya.

MoU berkenaan dimeterai pada majlis berlangsung di Resorts World Awana pada Khamis dan disaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang ditandatangani oleh Spencer Lee serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy.

King Sing (tengah) menyertai lawatan ke Eufloria selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan sidang media antara Tourism Malaysia dan Resorts World Genting di Resorts World Awana, hari ini. Foto Bernama
King Sing (tengah) menyertai lawatan ke Eufloria selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan sidang media antara Tourism Malaysia dan Resorts World Genting di Resorts World Awana, hari ini. Foto Bernama

Turut hadir Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.

Dalam pada itu Manoharan berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan RWG dalam memperkukuh usaha mempromosikan kelestarian, ekopelancongan dan edupelancongan menjelang VM2026 yang dijangka memberi impak signifikan kepada industri pelancongan.

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama ini mencerminkan kesepakatan visi dalam mempamerkan khazanah alam semula jadi Malaysia serta memperluas apresiasi terhadap biodiversiti negara.

"Kami menantikan hubungan lebih erat dengan RWG dalam membangunkan pengalaman pelancongan yang mampu menginspirasikan usaha pemuliharaan dan meningkatkan penghargaan terhadap warisan budaya,” katanya.

Melalui kerjasama itu, RWG akan mempromosikan kempen VM2026 melalui rangkaian platformnya termasuk penganjuran program khas, lawatan suai kenal dan pengalaman berkurasi bagi meningkatkan keterlihatan penjenamaan pelancongan negara.

Antara kemuncak majlis ialah lawatan eksklusif ke Eufloria, tarikan ekopelancongan dan edupelancongan terbaharu RWG berkeluasan kira-kira 5.06 hektar yang menggabungkan elemen hortikultur, seni dan pemuliharaan.

Eufloria menampilkan kompleks rumah hijau terbesar di Malaysia seluas sekitar 1.50 hektar, merangkumi empat rumah kaca bertema dengan pengalaman botani berbeza yang mampu menampung sehingga 8,000 pengunjung pada satu masa.

Pada majlis sama, RWG turut mengumumkan penganjuran BUNGA 2026, festival bunga tahunan sulung bertemakan orkid yang dijadualkan berlangsung pertengahan tahun depan serta menjadi landasan kepada Asia Pacific Orchid Conference (APOC) 2028.

Kerjasama strategik itu dijangka memperkukuh persiapan VM2026 melalui pembangunan pengalaman pelancongan berimpak tinggi yang menggabungkan alam semula jadi, budaya dan inovasi sebagai kekuatan utama negara.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!