SEDANIA catat pertumbuhan hasil 41 peratus

SEDANIA Innovator Berhad (SEDANIA) memulakan tahun kewangan dengan momentum kukuh apabila mencatat pertumbuhan tahun ke tahun yang memberangsangkan bagi suku pertama berakhir 30 September 2025 (1QFY26).
SEDANIA merekodkan hasil sebanyak RM22.43 juta, peningkatan 41 peratus daripada RM15.88 juta pada suku sama tahun lalu disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam segmen Sustainable Brands dan Sustainable Consumer Technology.
Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat kepada RM1.81 juta berbanding RM0.44 juta, mencerminkan kecekapan operasi yang lebih kukuh manakala keuntungan operasi meningkat kepada RM1.24 juta berbanding kerugian operasi RM0.16 juta setahun lalu.
Pengerusi SEDANIA, Tun Datuk Seri Md Raus Sharif berkata, keputusan itu mengukuhkan pendekatan strategik dan berdisiplin kumpulan terhadap pertumbuhan.
“Prestasi suku ini membuktikan bahawa tumpuan strategik kami terhadap pertumbuhan lestari dan disiplin operasi memberikan hasil yang nyata.
"Jenama mampan dan penyelesaian teknologi kami terus meraih momentum kukuh, disokong oleh pelaksanaan yang berkesan dan permintaan pasaran yang semakin meningkat," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurutnya, SEDANIA sedang membina asas yang teguh dan pihaknya yakin dengan hala tuju jangka panjang dalam mencipta nilai untuk semua pihak berkepentingan.
Sementara itu, Pengarah Urusan SEDANIA, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, kumpulan memulakan memulakan suku ini dengan kukuh dengan pertumbuhan tahun ke tahun dicatatkan merentasi segmen Sustainable Brands dan Sustainable Consumer Technology.
“Ini mencerminkan kekuatan portfolio kami serta impak disiplin kos yang dipertingkat dan penambahbaikan operasi.
“Ketika kami mengembangkan jenama ke peringkat antarabangsa dan meluaskan ekosistem teknologi kewangan, fokus kami kekal pada pertumbuhan lestari dan penciptaan nilai yang bermakna untuk komuniti yang kami sokong,” jelasnya.
Tambah beliau, segmen Sustainable Brands yang merangkumi Offspring dan Tanamera merekodkan hasil RM18.79 juta, peningkatan 40 peratus tahun ke tahun daripada RM13.39 juta.
“Pertumbuhan ini disokong oleh prestasi domestik yang kukuh, permintaan antarabangsa yang meningkat serta pengukuhan saluran digital dan runcit.
“Segmen Sustainable Consumer Technology pula mencatat RM3.39 juta hasil, peningkatan 42 peratus tahun ke tahun,” katanya.
Selain itu, bahagian teknologi kewangan menyumbang RM3.10 juta berikutan peningkatan penggunaan As-Sidq dan Program Pembiayaan GoHalal.
Melangkah ke hadapan, SEDANIA kekal optimis untuk mengekalkan trajektori positif sepanjang FY26. Fokus kumpulan termasuk memperluas pasaran antarabangsa dan kehadiran runcit bagi Offspring dan Tanamera; mempercepat penerimaan As-Sidq dan Program Pembiayaan GoHalal dalam kalangan institusi kewangan dan ekosistem digital.
Dengan keutamaan jelas berteraskan inovasi, disiplin operasi dan penciptaan nilai jangka panjang, SEDANIA berada pada kedudukan kukuh untuk meneruskan momentum positif yang telah dicapai pada suku ini.
Ringkasan AI
- SEDANIA mencatat pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 41 peratus dengan hasil RM22.43 juta pada suku pertama berakhir 30 September 2025
- Pendapatan sebelum EBITDA meningkat kepada RM1.81 juta dari RM0.44 juta dengan keuntungan operasi RM1.24 juta berbanding kerugian RM0.16 juta tahun sebelumnya
- Prestasi ini disokong oleh pertumbuhan dalam segmen Sustainable Brands dan Sustainable Consumer Technology
- Segmen Sustainable Brands yang termasuk Offspring dan Tanamera mencatat pertumbuhan hasil 40 peratus tahun ke tahun menjadi RM18.79 juta
- SEDANIA tetap optimis dengan trajektori positif dan fokus pada perluasan pasaran antarabangsa, mempercepat penerimaan As-Sidq dan Program Pembiayaan GoHalal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

