Anifah sasar Bongawan jadi hab minyak dan gas, kesinambungan usaha di Kimanis

Anifah
Anifah
A
A
A

PAPAR - Pengalaman selama hampir 10 tahun sebagai Menteri Luar menjadi sandaran utama Tan Sri Anifah Aman dalam menawarkan satu agenda pembangunan berskala besar untuk Bongawan, sekali gus menjadikan kawasan itu sebagai hab industri minyak dan gas (OAG) Sabah jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan itu berkata, rancangan tersebut bukan sekadar janji baharu, sebaliknya kesinambungan kepada usaha yang pernah dibawanya ketika menjadi Ahli Parlimen Kimanis, termasuk pembinaan Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT).

Menurutnya, Bongawan memiliki potensi besar untuk muncul sebagai pusat industri tenaga seterusnya selepas Kimanis, lebih-lebih lagi dengan pengalaman serta jaringan hubungan antarabangsa yang dibina sepanjang memegang portfolio Menteri Luar.

"Ia bukan sekadar cadangan politik tetapi perancangan ini adalah satu agenda pembangunan yang saya yakin boleh direalisasikan berdasarkan pengalaman saya dan potensi dimiliki Bongawan.

"Kita berjaya mewujudkan SOGT di Kimanis yang kini menjadi tonggak industri tenaga di Sabah dan jika ini mampu dilakukan, tidak mustahil Bongawan juga dapat mengulangi kejayaan sama.

"Kita mahu pastikan pembangunan ini bukan lagi sekadar harapan kosong, sebaliknya jika Bongawan dijadikan hab minyak dan gas, rakyat Bongawan akan menjadi penerima manfaat utama," katanya semasa berucap pada kempen di sini pada malam Rabu.

Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata, pelbagai manfaat bakal dinikmati warga Bongawan menerusi kewujudan hab OAG ini antaranya, pertumbuhan ekonomi setempat yang pesat.

Bukan itu saja katanya, ia juga bakal melonjakkan peluang pekerjaan untuk masyarakat khususnya anak muda dalam semua keperluan tenaga kerja melibatkan secara langsung dan tidak langsung termasuk perkhidmatan sokongan industri.

Beliau dalam pada itu yakin mampu melonjakkan ekonomi serta pemodenan insfrastruktur di Bongawan seperti jalan raya, pelabuhan kecil, logistik, sistem bekalan air, elektrik dan telekomunikasi yang akan ditingkatkan untuk menyokong hab industri.

Artikel Berkaitan:

"Banyak lagi manfaat daripada usaha ini yang akan menjadikan Bongawan sebagai tumpuan baharu di Sabah, malah boleh menjadi zon strategik seperti Bintulu, Sarawak dan Kemaman di Terengganu.

"Ini sekali gus akan mewujudkan identiti baharu kepada Bongawan sebagai pusat industri tenaga Sabah, sekaligus dikenali di peringkat nasional," katanya.

Sehubungan itu, Anifah menyeru sokongan dan mandat rakyat Bongawan untuk PRU17 ini bagi membuktikan aspirasi itu dapat direalisasikan demi kebaikan bersama.

"Ini demi memastikan masyarakat Bongawan benar-benar menikmati pembangunan yang mereka layak terima dan dengan mandat baharu ini, saya bersedia memimpin usaha menjadikan Bongawan nadi industri tenaga Sabah," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Tan Sri Anifah Aman menawarkan agenda pembangunan besar untuk menjadikan Bongawan hab industri minyak dan gas Sabah
  • Berasaskan pengalaman hampir 10 tahun sebagai Menteri Luar dan kesinambungan usaha sebelumnya termasuk pembinaan SOGT
  • Anifah yakin Bongawan boleh muncul sebagai pusat industri tenaga setelah Kimanis berdasarkan potensi dan pengalamannya
  • Pembangunan hab minyak dan gas di Bongawan dijangka melonjakkan ekonomi setempat dan mencipta peluang pekerjaan
  • Anifah meminta sokongan dan mandat rakyat Bongawan untuk merealisasikan pembangunan tersebut demi manfaat bersama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!