Echa Gomo rangkul tali pinggang Sinar Harian

PETARUNG Kelab Muay Thai Gomo, Nur Aisyah Mohamad Azmi merangkul tali pinggang Sinar Harian pada Kejohanan Grand Final Kuda Merah Muay Thai Challenge 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Nur Aisyah yang juga dikenali sebagai Echa Gomo diisytihar pemenang selepas mengharungi pertarungan tiga pusingan menentang lawan lebih berpengalaman, Miam Natasha dari Kelab Muay Thai CTR 313.
Lebih manis, kemenangan tersebut menebus kekalahannya kepada lawan sama pada 2022.
Petinju berusia 24 tahun itu bagaimanapun mengakui persembahannya belum mencapai tahap yang diinginkan.
“Syukur alhamdullilah dengan kemenangan ini, tapi saya tahu saya boleh buat lebih baik.
“Ada bahagian game plan yang kurang menjadi dan mungkin sekitar 60 peratus sahaja yang keluar malam ini,” katanya.

Tali pinggang Sinar Harian disampaikan oleh Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Sementara itu, suami yang juga jurulatih, Muhammad Shaiful Md Shaied tetap memuji komitmen dan disiplin ditunjukkan Nur Aisyah sepanjang pertarungan.
“Echa mengawal perlawanan dan mengikut arahan dengan baik. Walaupun dia rasa belum mencapai tahap optimum tapi bagi saya ia sudah memadai,” katanya.
Dalam pada itu, Shaiful yang dikenali sebagai Epul Gomo turut meraih tali pinggang Kuda Merah pada hari pertama kejohanan, menjadikan pasangan tersebut antara tumpuan utama edisi kali ini.
Sinar Harian merupakan media rasmi kejohanan.
Ringkasan AI
- Petarung Kelab Muay Thai Gomo, Nur Aisyah Mohamad Azmi merangkul tali pinggang Sinar Harian di Grand Final Kuda Merah Muay Thai Challenge 2025
- Nur Aisyah diisytihar pemenang selepas menewaskan Miam Natasha dari Kelab Muay Thai CTR 313
- Kemenangan membayar dendam kekalahan kepada lawan sama pada 2022
- Walaupun menang, Nur Aisyah mengakui persembahannya belum mencapai tahap yang diinginkan
- Suami dan jurulatih, Muhammad Shaiful Md Shaied, memuji komitmen dan disiplin Nur Aisyah sepanjang pertarungan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

