Tujuh sekatan jalan raya di Putrajaya, sempadan ditutup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak tujuh sekatan jalan raya melibatkan kawalan dan pemeriksaan bersama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaksanakan di Putrajaya sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac hingga 14 April ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, selain itu, pihak Perbadanan Putrajaya turut menutup tujuh lagi laluan yang menghubungkan Putrajaya dengan kawasan bersempadan dengannya termasuk Cyberjaya, Dengkil, Pinggiran Putra, Bangi dan Puchong.

Beliau berkata, penutupan laluan yang menghubungkan Putrajaya itu dengan kawasan yang bersempadan adalah sebagai langkah kawalan tambahan bagi pelaksanaan PKP.

"Sejak PKP bermula pada 18 Mac lepas, belum ada sebarang tangkapan pelanggaran PKP di Putrajaya setakat ini. Tahap pematuhan masyarakat di Putrajaya kepada PKP adalah baik," katanya.

Antara kawasan yang terlibat dengan kawalan dan pemeriksaan PDRM dan ATM ialah Pintu 3, Persiaran Utara - hala keluar ke Puchong di Presint 9; Pintu 2, Persiaran Persekutuan - hala keluar ke Puchong di Presint 13; dan Persiaran Selatan-hala keluar ke Dengkil di Presint 5.

Penutupan laluan ke kawasan bersempadan Putrajaya antaranya ialah Jalan P5 iaitu menghala keluar/masuk ke Taman Cabaran dan Dengkil di Presint 5; Lebuh Wadi Ehsan menghala keluar Desa Pinggiran Putra di Presint 19; dan Persiaran Timur di susur keluar ke Desa Pinggiran Putra di Presint 16.

Menurut Rosly, pergerakan kenderaan di Putrajaya 'sedikit sibuk' pada sebelah pagi dan petang melibatkan petugas yang terlibat dalam kategori perkhidmatan penting negara 'essential services'. - Bernama

Artikel Berkaitan: