Laporan Tahunan SPRM akan diserah kepada PM, tingkat usaha cegah rasuah

PUTRAJAYA - Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) akan menyerahkan Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2024 kepada Perdana Menteri sebagai langkah pencegahan rasuah lebih menyeluruh.
SPRM dalam kenyataan berkata, laporan itu kemudian akan dibentangkan di hadapan setiap Majlis Parlimen berdasarkan peruntukan subseksyen 14(5) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694].
Menurutnya, penunaian fungsi ini merupakan salah satu peranan JKMR dalam usaha pencegahan rasuah negara untuk dilaksanakan secara menyeluruh, bebas dan berintegriti demi kepentingan rakyat dan kesejahteraan negara.
"JKMR telah mengadakan Mesyuarat Bil 4 Tahun 2025 bagi meneruskan kesinambungan fungsi-fungsinya sebagaimana ditetapkan di bawah Akta 694.
"Agenda utama kali ini adalah untuk mendengar dan memeriksa ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) tentang penjalanan SPRM akan fungsinya di bawah Akta 694.
"Pada masa sama mesyuarat kali ini juga untuk mendapatkan penjelasan dan penerangan mengenai Laporan Tahunan SPRM bagi Tahun 2021 sehingga 2024 dan ulasan LPPR bagi tahun 2024," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah kenyataan itu, Laporan Tahunan JKMR 2024 yang sedang dalam penyediaan akan memuatkan input yang diterima dalam mesyuarat berkenaan.
Katanya, JKMR mengambil maklum isu-isu berbangkit yang dikemukakan dalam mesyuarat ini khususnya berkaitan status penguatkuasaan, aspek prosedur dan kawal selia, mekanisme pencegahan dan pengurusan hal ehwal SPRM selaras dengan mandat semak serta imbang yang diberikan kepada ahli JKMR.
Mesyuarat yang berlangsung pada Selasa dipengerusikan Pengerusi JKMR, Datuk Mohd Shahar Abdullah yang juga merupakan Ahli Parlimen Paya Besar.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Professionalisme), Datuk Junipah Wandi serta Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Datuk Azmi Kamaruzaman dan Pengerusi Badan-Badan Pemantau Bebas SPRM yang lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
