Fiji Sun kagumi Sinar Harian

SHAH ALAM - Syarikat penerbitan akhbar yang berpangkalan di Suva, Fiji iaitu Fiji Sun mengadakan kunjungan hormat ke Kompleks Karangkraf bagi meninjau operasi bilik berita Sinar Harian dan Sinar Daily.
Ketua Pegawai Eksekutif Fiji Sun, Rosi Doviverata berkata, ia satu peluang yang tidak boleh dilepaskan apabila pihak Sinar Karangkraf Sdn Bhd sudi meluangkan masa lebih dua jam untuk bertukar-tukar pandangan mengenai masa depan akhbar cetak serta perkembangan tranformasi digital media arus perdana.
Menurut beliau selaku pemangku penerbit, hasil perkongsian pendapat dan cadangan daripada Sinar Harian membolehkan pihaknya merangka strategi baharu untuk menambahbaik mutu kandungan digital pasukan editorial Fiji Sun mulai tahun depan.
"Kami tiba di Kuala Lumpur bagi menghadiri Persidangan Global Kewartawanan Penyiasatan (GIJC) minggu ini. Jadi, kami fikir ada baiknya meluangkan masa bertemu dengan Sinar Harian untuk sesi perkongsian pendapat.
"Sepanjang dua jam pertemuan, hasilnya benar-benar mengagumkan dan banyak yang kami pelajari tentang selok-belok editorial Sinar Harian serta Sinar Daily untuk diterapkan dalam 'news room' Fiji Sun, secara tidak langsung boleh memanfaatkan 109 staf kami.
"Idea mengenai program untuk kandungan digital seperti podcast, 'town hall' bersama rakyat sambil menekankan trend penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan kerjasama dengan sektor korporat antara yang menarik perhatian serta boleh dijadikan panduan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke bilik berita Sinar Harian bertempat di Kompleks Karangkraf, di sini pada Selasa.
Turut serta, Editor dan Wartawan Penyiasat dari Fiji Sun, Ivamere L Nataro; Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli; Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa; Editor Sinar Daily, Tasnim Lokman serta Ketua Komunikasi Korporat Karangkraf Sdn Bhd, Nik Justin Nik Ariffin.
Wakil Fiji Sun tersebut turut dibawa meninjau bilik berita serta studio rakaman yang menjadi set penggambaran program terbitan Sinar Harian, Sinar Daily, SinarPlus, Sinar Bestari dan Sinar Islam.
Rosi berpendapat bahawa terdapat keperluan penting untuk bergerak ke arah digitalisasi kerana masyarakat moden tidak lagi menelaah surat khabar dan lebih memilih membaca kandungan berita di media sosial.
Justeru, tambah beliau, Sinar Harian dan Sinar Daily selaku media yang menjadi rujukan ramai dalam konteks penyampaian berita terkini boleh dijadikan contoh terbaik untuk syarikat kendaliannya.
Ringkasan AI
- Syarikat penerbitan akhbar Fiji Sun dari Suva, Fiji, mengunjungi Kompleks Karangkraf untuk meninjau operasi bilik berita Sinar Harian dan Sinar Daily Kunjungan tersebut bertujuan untuk bertukar-tukar pandangan tentang masa depan akhbar cetak dan transformasi digital media Hasil daripada pertemuan tersebut, Fiji Sun merancang untuk menambahbaik kandungan digital mereka berdasarkan cadangan dari Sinar Harian Rosi Doviverata, Ketua Pegawai Eksekutif Fiji Sun, melihat keperluan penting untuk bergerak ke arah digitalisasi dalam industri media Idea tentang penggunaan podcast, town halls, kecerdasan buatan (AI), dan kerjasama dengan sektor korporat dibincangkan sebagai strategi peningkatan konten digital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

