JPA kumpul maklum balas cadangan had umur persaraan 65 tahun

KOTA BHARU - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengumpul maklum balas mengenai cadangan menaikkan had umur persaraan wajib bagi penjawat awam kepada 65 tahun.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, maklumat awal itu penting sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan kerana perkara tersebut di luar kebiasaan.
"Perkara ini memerlukan satu kajian serta penelitian yang lebih rapi," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Pesara dan Lawatan Kerja di Min House Camp, di sini pada Selasa.
Menurut beliau, JPA sudahpun mengadakan sesi libat urus dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia untuk mendapatkan maklum balas.
"Biasanya hasil maklum balas yang diterima ada baik dan buruknya. Ada yang bersetuju dan tidak.
"Cuma peringkat awal, kita akan lihat daripada pelbagai perspektif dan sudut untuk pastikan apa jua keputusan memberi implikasi yang baik kepada penjawat awam dan negara," katanya.
Beliau berharap semua pihak dapat bersabar menunggu keputusan tersebut.
Ujarnya, perkara tersebut masih dalam peringkat kajian yang masih memperlukan penelitian rapi supaya langkah yang diambil mampu memberikan manfaat kepada semua pihak.
Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Dahlan mengakui tahap intergriti dalam kalangan segelintir kecil penjawat awam masih lemah.
“Integriti adalah prinsip asas yang mesti dipegang setiap penjawat awam.
"Tanpa integriti, perkhidmatan kerajaan boleh menuju kehancuran,”
katanya.
Menurut beliau, meskipun pelbagai peraturan dan pekeliling telah disediakan JPA bagi memperkukuh budaya integriti, masih terdapat individu yang gagal mematuhi standard ditetapkan.
Ujarnya, kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap pematuhan integriti termasuk dalam aspek tadbir urus projek pembangunan, perolehan dan proses pentadbiran yang melibatkan kepentingan awam.
Ringkasan AI
- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengumpul maklum balas mengenai cadangan menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun
- Maklumat awal penting sebelum kerajaan membuat keputusan terhadap cadangan yang di luar kebiasaan
- Diperlukan kajian rapi sebelum melaksanakan cadangan tersebut
- JPA berinteraksi dengan CUEPACS dan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia untuk maklum balas
- Keputusan masih dalam peringkat kajian dan memerlukan penelitian lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

