JPA laksana kajian komprehensif umur persaraan 65 tahun

Wan Ahmad Dahlan (empat dari kanan) bersama-sama rombongan menunjukkan simbol Madani.
Wan Ahmad Dahlan (empat dari kanan) bersama-sama rombongan menunjukkan simbol Madani.
A
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melaksanakan kajian komprehensif berhubung cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, walaupun kajian itu secara rasmi bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), pihaknya sudah memulakan langkah awal dengan mengumpul dapatan berdasarkan pengalaman negara lain.

“Bermula RMK13 maka bermulalah kajian kita, tetapi JPA mengumpul maklumat awal terlebih dahulu dengan melihat kepada negara-negara yang mempunyai tempoh perkhidmatan lebih lama berbanding Malaysia untuk dijadikan penanda aras.

“Contohnya, Singapura menetapkan umur persaraan pada 63 tahun, manakala negara Scandinavia mencadangkan sehingga 70 tahun. Malah negara kita sendiri sudah mempunyai skim umur bersara 66 tahun iaitu bagi hakim. Jadi, cadangan ini bukan perkara luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Ziarah Pesara di Kampung Gayong, Pengkalan Chepa sempena Mesyuarat Pengurusan Tertinggi JPA pada Khamis.

Beliau menjelaskan, kajian berkenaan akan melibatkan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan termasuk Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), persatuan-persatuan pesara serta golongan belia.

“Kalau dikatakan umur persaraan dinaikkan akan mengurangkan produktiviti, kita lihat negara lain yang perkhidmatannya lebih lama, mereka tetap negara maju.

“Jadi, beri peluang untuk kajian menyeluruh agar hasilnya dapat memuaskan hati semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Dahlan menolak tanggapan kononnya belia tidak lagi berminat untuk berkhidmat dalam sektor awam.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) jelas menunjukkan minat tersebut masih tinggi dengan jumlah permohonan yang sangat besar setiap tahun.

“Sebagai contoh, bagi skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik, kerajaan hanya memerlukan 165 orang tahun depan, tetapi jumlah pemohon seramai 200,000. Ini membuktikan perkhidmatan awam masih signifikan dan diminati,” katanya.

Terdahulu, dalam program ziarah berkenaan, beliau bersama wakil Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menziarahi dua keluarga pesara.

Kunjungan itu melibatkan seorang pesara polis, Ibrahim Abdullah yang menghidap penyakit kronik di Kampung Panji, serta seorang penerima pencen terbitan, Siti Rubiah Mohammad, balu kepada Allahyarham Kamal Ariffin iaitu bekas pekerja Majlis Perbandaran Kota Bharu–Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Kampung Gayong, Pengkalan Chepa.

“Kerajaan tidak lupa pada jasa pesara yang menyumbang begitu banyak kepada pembangunan negara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!