Kontraktor didakwa guna gelaran Datuk untuk tender kerajaan

KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas satu pertuduhan menggunakan gelaran Datuk tanpa kebenaran bagi mendapatkan tender kerajaan, tahun lalu.
Bashir Mohd Sardar Husin, 56, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Azrul Darus.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan gelaran tersebut tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Pahang bagi maksud perniagaan untuk mendapatkan tender kerajaan di Kementerian Pendidikan Malaysia di Putrajaya pada jam 9.30 pagi 26 Julai 2024.
Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 3 (3) enakmen sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda antara RM250,000 hingga RM500,000 atau penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin.
Bagaimanapun, peguam, Nasar Khan Mirbas Khan yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya diberi jaminan pada pada miminum.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azrul membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Ringkasan AI
- Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan gelaran datuk tanpa kebenaran untuk mendapatkan tender kerajaan
- Tertuduh bernama Bashir Mohd Sardar Husin, berumur 56 tahun
- Didakwa menggunakan gelaran tanpa kebenaran bertulis daripada Sultan Pahang untuk tujuan mendapatkan tender di Kementerian Pendidikan Malaysia
- Boleh dihukum denda RM250,000 hingga RM500,000 atau penjara minimum satu tahun hingga maksimum lima tahun jika sabit kesalahan
- Diberi ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 Disember
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

