Banci Ekonomi 2026 sasar tingkat bahagian pendapatan pekerja melebihi 40 peratus

Mohd Uzir ketika sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 Bersama Stakeholders dan Persatuan Perniagaan Peringkat Wilayah Persekutuan, pada Selasa.
Mohd Uzir ketika sidang akhbar selepas Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 Bersama Stakeholders dan Persatuan Perniagaan Peringkat Wilayah Persekutuan, pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Usaha meningkatkan bahagian pendapatan pekerja kepada lebih 40 peratus, berbanding 36 peratus dalam nilai ekonomi negara ketika ini, menjadi antara fokus utama pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, banci berskala besar tersebut amat penting untuk menyediakan gambaran sebenar struktur ekonomi negara, sekali gus membantu kerajaan menilai sama ada strategi semasa benar-benar memberi manfaat kepada golongan pekerja.

Menurutnya, data terperinci yang dikumpul akan menjadi asas kepada penetapan dasar baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan rancangan perindustrian negara, selain membantu mengenal pasti sektor yang memerlukan intervensi bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan.

"Data ini akan membantu mengenal pasti peluang dan bidang penambahbaikan dalam pelbagai sektor ekonomi seperti pertanian, pembuatan dan perkhidmatan.

"Ia akan meneliti penggunaan teknologi, keperluan tenaga mahir dan impak kepada pendapatan pekerja, dengan sasaran untuk meningkatkan peratusan sumbangan pendapatan pekerja kepada lebih 40 peratus berbanding 36 peratus semasa.

"Maklumat ini juga akan memandu kalibrasi sasaran negara dan tindakan susulan yang diperlukan, selain memberi manfaat kepada syarikat untuk meneliti prospek mengikut sektor dan industri," katanya ketika Sidang Akhbar selepas Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 Bersama Stakeholders dan Persatuan Perniagaan Peringkat Wilayah Persekutuan, di sini, pada Selasa.

Sesi libat urus tersebut dihadiri oleh lebih daripada 200 orang peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan, persatuan industri, pertubuhan perniagaan, usahawan, pejabat parlimen serta pegawai ibu pejabat DOSM dan DOSM Wilayah Persekutuan.

Mohd Uzir memberi penerangan ketika Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 Bersama Stakeholders dan Persatuan Perniagaan Peringkat Wilayah Persekutuan, di ibu negara pada Selasa.
Mohd Uzir memberi penerangan ketika Sesi Libat Urus Banci Ekonomi 2026 Bersama Stakeholders dan Persatuan Perniagaan Peringkat Wilayah Persekutuan, di ibu negara pada Selasa.

Mohd Uzir berkata, ketika ini Malaysia mempunyai 1.2 juta pertubuhan perniagaan, termasuk 180,000 di Wilayah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Kedudukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai penyumbang kedua tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia selepas negeri Selangor pada tahun 2024 dengan sumbangan sebanyak 16.1 peratus dengan nilai KDNK berjumlah RM265.8 bilion mengukuh 6.2 peratus.

"Justeru semua pertubuhan perniagaan dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan digesa memberi kerjasama sepenuhnya terhadap BE2026.

"Dengan semangat kerjasama, sokongan berterusan dan rasa tanggungjawab bersama, pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 akan dapat direalisasikan dengan cemerlang, berimpak tinggi dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada negara," katanya.

Pertubuhan-pertubuhan boleh memberi maklum balas melalui pengisian maklumat dalam talian yang dikenali sebagai e-BE, penghantaran borang soal selidik secara pos dan komunikasi menggunakan e-mel atau telefon.

Pembanci-pembanci DOSM juga akan mengumpul data melalui kaedah temu duga bersemuka.

Banci tersebut bermula Februari 2026 dan berakhir Oktober 2026.

Ringkasan AI

  • Usaha meningkatkan bahagian pendapatan pekerja kepada lebih 40 peratus adalah fokus utama Banci Ekonomi 2026
  • Data yang terperinci dari banci akan memandu pembuatan dasar baharu dan menilai strategi untuk meningkatkan pendapatan
  • Maklumat yang diperoleh akan membantu mengidentifikasi sektor yang memerlukan peningkatan produktiviti
  • Banci ini juga akan mengkaji penggunaan teknologi dan keperluan tenaga mahir dalam ekonomi
  • Pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 memerlukan kerjasama semua pertubuhan perniagaan dan bermula Februari 2026 hingga Oktober 2026

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!