Bawa ke CAS demi tegakkan keadilan, pertahan integriti – FAM

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan akan membawa kes membabitkan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas proses rayuan gagal memberikan keputusan memihak kepada badan induk itu.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, langkah tersebut dibuat bagi memastikan kes berkenaan diadili sebaik mungkin serta selaras dengan prosedur undang-undang yang telah ditetapkan.
“FAM ingin memaklumkan bahawa kami telah menerima alasan penuh keputusan yang diberikan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung penolakan rayuan FAM berkaitan status kelayakan tujuh pemain warisan Malaysia.
“Sehubungan itu, FAM akan memulakan proses untuk membawa kes ini ke CAS. Langkah ini diambil bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan badan-badan berkaitan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, FAM tetap komited memperjuangkan hak semua pemain yang layak mewakili negara dan tidak akan berkompromi dalam soal integriti serta ketelusan proses dokumentasi pemain.
“FAM akan memastikan setiap tindakan diambil secara profesional, telus serta mengikut saluran undang-undang yang sewajarnya,” katanya.
Jawatankuasa Rayuan FIFA sebelum itu menolak rayuan FAM dan tujuh pemain warisan berhubung Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Hukuman kekal menyaksikan FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta), manakala tujuh pemain berkenaan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
Ringkasan AI
- FAM akan membawa kes pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas rayuan gagal
- Langkah ini untuk memastikan keadilan serta mempertahankan integriti proses kelayakan pemain
- FAM menerima alasan penolakan rayuan oleh FIFA berkaitan status kelayakan tujuh pemain warisan
- FAM bertekad memperjuangkan hak pemain yang layak mewakili negara tanpa berkompromi soal integriti
- Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan FAM, mengakibatkan denda kepada FAM dan tujuh pemain serta penggantungan pemain dari aktiviti bola sepak selama 12 bulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
