Empat RUU reformasi institusi dibentang tahun depan - Anwar

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat rang undang-undang (RUU) berkaitan reformasi institusi melibatkan Ombudsman, kebebasan maklumat (FOI), pendanaan politik serta pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 melibatkan perlindungan dan insentif kepada pemberi maklumat juga akan dibentangkan.

"Keempat-empat RUU tersebut sedang melalui proses libat urus antaranya dengan Parlimen, Majlis Peguam dan pihak-pihak berkepentingan lain sebelum dimuktamadkan.

"Ada yang dijangka dibentangkan awal tahun manakala sebahagiannya (dibentang) pertengahan tahun depan," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) mengenai perkembangan terkini reformasi institusi perundangan melalui penggubalan RUU tersebut dalam usaha meningkatkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Sementara itu Anwar menjelaskan, pemantauan terhadap pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 dijalankan secara berkala dengan beberapa cadangan langkah diberi perhatian.

Menurutnya, cadangan tersebut melibatkan pemberian insentif cukai kepada agensi yang menyertai program antirasuah secara berkesan.

Inisiatif tersebut ujarnya, turut melibatkan penetapan pemberian elaun kepada saksi yang bersedia memberi kerjasama dengan kerajaan.

"Setakat ini, terdapat kejayaan yang bermakna. Contohnya, pencapaian badan-badan penguatkuasaan dari segi kerangka besar antirasuah, ketirisan, penyeludupan dan kartel, kita berjaya mengumpul RM15.5 bilion untuk kantung negara," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Empat rang undang-undang berkaitan reformasi institusi termasuk Ombudsman, kebebasan maklumat, pendanaan politik, dan pengasingan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan
  • Pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga akan dibentangkan
  • Kesemua RUU tersebut sedang dalam proses libat urus dengan Parlimen dan Majlis Peguam sebelum dimuktamadkan
  • Pemantauan pelaksanaan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional 2024-2028 dijalankan secara berkala
  • Inisiatif melibatkan pemberian insentif cukai kepada agensi antirasuah dan elaun kepada saksi yang bekerjasama dengan kerajaan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!