Kartel dadah eksploitasi kelemahan kawalan

Laporan Sinar Harian berhubung pendedahan Anwar mengenai kewujudan kartel besar yang menyeludup dadah menggunakan kontena dari Pelabuhan Klang sejak 20 tahun lalu.
Laporan Sinar Harian berhubung pendedahan Anwar mengenai kewujudan kartel besar yang menyeludup dadah menggunakan kontena dari Pelabuhan Klang sejak 20 tahun lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia terus menjadi lokasi transit pilihan kartel dadah antarabangsa berikutan gabungan faktor geografi dan kelemahan dalam sistem kawal selia pintu masuk negara.

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, kedudukan perairan negara yang luas dan terbuka menjadikan penyeludupan melalui laluan laut lebih mudah, sekali gus dimanfaatkan sindiket besar sejak bertahun-tahun.

“Pertamanya, urusan nak bawa masuk dadah itu mudah kerana negara kita dikelilingi laut terbuka,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kelemahan penguatkuasaan dalam semakan kontena menyumbang kepada kecenderungan Malaysia dijadikan negara transit, memandangkan deklarasi barang tidak disahkan secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.

“Orang itu isytihar barang lain, tetapi penguat kuasa tidak buat pemeriksaan. Mereka tidak tengok barang dalam kontena sama ada betul-betul sama dengan yang diisytiharkan atau sebaliknya,” jelas Shahul.

Situasi itu katanya, menyebabkan pegawai penguat kuasa menerima laporan muatan tanpa pemeriksaan fizikal, sedangkan modus operandi kartel ialah menukar isi kandungan kontena dengan dadah atau barangan terlarang lain.

“Kalau sudah biasa (berurusan), penguat kuasa anggap barang itu sah, tetapi sebenarnya dalamnya ada dadah atau barang lain,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan kewujudan kartel besar yang menyeludup dadah menggunakan kontena dari Pelabuhan Klang sejak 20 tahun lalu, namun tiada tindakan signifikan diambil sebelum ini.

Menurut Shahul, kedudukan Malaysia sebagai transit turut diperkuatkan oleh tahap penguatkuasaan yang lemah, selain budaya kerja tidak konsisten dalam kalangan pegawai pemeriksaan.

Artikel Berkaitan:

“Bukan setakat dadah, banyak lagi benda lain yang masuk melalui kontena. Satu ketika, ada botol, kenderaan dan sebagainya,” katanya.

Tambah beliau, rangkaian kartel sudah lama beroperasi sehingga menjadi struktur yang stabil dan mampu meneruskan pergerakan mereka tanpa gangguan besar.

Ditanya sama ada rangkaian tersebut mempunyai kaitan dengan individu penguat kuasa, beliau tidak menolak kemungkinan itu memandangkan kegiatan tersebut telah berlangsung sejak sekian lama.

Menurut beliau, kelemahan dari segi penempatan pegawai turut menyumbang kepada keberanian kartel memanipulasi sistem, apabila individu yang sama kekal bertugas di lokasi strategik untuk tempoh terlalu lama.

“Orang itu kerja di situ berpuluh-puluh tahun. Jadi, orang dah kenal, dah tahu. Dengan ruang-ruang yang ada, mereka akan cari kelemahan pegawai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pentingnya kerajaan mengembalikan dasar pertukaran berkala pegawai di kawasan sensitif seperti yang pernah diamalkan dahulu.

Shahul menyarankan tempoh terbaik penempatan seseorang pegawai penguat kuasa adalah sekitar tiga hingga lima tahun bagi mengelakkan wujudnya rangkaian hubungan tidak sihat.

Sementara itu, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, bukan bermakna tiada ada (penguatkuasaan) yang berlaku selama 20 tahun, sebaliknya tindakan terhadap kartel dadah telah lama dilaksanakan.

Namun ia tidak didedahkan secara terbuka atas faktor keselamatan operasi.

Razarudin berkata, keputusan itu dibuat oleh kepimpinan tertinggi polis ketika itu bagi mengelakkan kartel mengubah taktik sekiranya maklumat operasi didedahkan kepada umum.

“Tangkapan telah dibuat sebelum zaman saya lagi, tetapi pengarah atau Ketua Polis Negara terdahulu memilih untuk tidak bercakap secara terbuka mengenai hal kartel ini.

“Kita bimbang mereka mengubah modus operandi sehingga menyukarkan pengesanan dan tindakan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui di Pulapol pada Isnin.

Ringkasan AI

  • Malaysia terus menjadi lokasi transit pilihan kartel dadah antarabangsa disebabkan oleh kedudukan geografi dan kelemahan kawal selia
  • Penyeludupan dadah melalui laluan laut dipermudah oleh kedudukan perairan negara yang luas dan terbuka
  • Kelemahan dalam semakan kontena di pintu masuk negara memudahkan sindiket menyeludupkan dadah
  • Rangkaian kartel dadah sudah lama beroperasi dan memiliki struktur stabil yang memanfaatkan kelemahan penguatkuasaan
  • Pentingnya dasar pertukaran berkala pegawai penguat kuasa di kawasan sensitif untuk mengelakkan hubungan tidak sihat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!