Tengku Razaleigh cadang kerajaan beri RM1,000 kepada rakyat

Tengku Razaleigh
Tengku Razaleigh
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan supaya kerajaan memberikan wang sebanyak RM1,000 kepada setiap warga Malaysia sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas beliau, perkara itu perlu dilaksanakan kerana ramai rakyat yang terkesan daripada pelaksanaan PKP telah kehilangan punca pendapatan kerana ada di antara mereka telah diberhentikan kerja dan tidak dapat berniaga.

"Saya telah beritahu kepada rakan-rakan bahawa kerajaan sekarang mesti memberikan wang kepada setiap rakyat Malaysia yang memiliki kad pengenalan biru, sebanyak RM1,000 untuk setiap bulan sepanjang PKP dilaksanakan.

"Bantuan itu akan membolehkan rakyat yang tidak dapat berniaga, kehilangan pekerjaan atau tidak mempunyai pekerjaan dan tiada wang simpanan meletakkan makanan di atas meja mereka dan mendapat akses kepada barang keperluan," katanya.

Selain itu, Tengku Razaleigh turut mencadangkan supaya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyediakan bantuan kewangan, pinjaman mudah mudah sehingga RM30,000 kepada peniaga kecil dengan jaminan peribadi atau keluarga.

"Ini termasuk golongan kontraktor kecil atau pembekal, harus diberikan akses kepada semua bank untuk pinjaman sehingga RM500,000 dan mereka ini tidak seharusnya dibebankan dan kesukaran untuk mendapat kemudahan pinjaman," katanya.

Menurut Tengku Razaleigh, untuk memastikan keadaan ekonomi pulih semula, pakar kewangan dan perbankan perlu melakukan sesuatu supaya keyakinan pelabur dapat dipulihkan semula dan menarik semula pasaran modal.

"Tetapi kunci untuk meningkatkan keyakinan sangat bergantung pada nilai tukar ringgit Malaysia kita berbanding dolar Amerika Syarikat AS$ dan Yuan China. Kepimpinan politik mestilah seorang yang adil, tegas dan boleh dipercayai," katanya.

Artikel Berkaitan: