Jumpa rangka manusia dalam kebun kelapa sawit

SABAK BERNAM - Satu rangka manusia ditemukan di kawasan kebun kelapa sawit di Jalan Saring Tebuk, Sungai Air Tawar di sini pada Rabu.
Rangka yang belum dikenal pasti identiti itu dijumpai seorang lelaki tempatan, kira-kira jam 10.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan telefon mengenai penemuan itu jam 11.12 pagi.
"Sepasukan pegawai dan anggota polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Md Yusof, siasatan awal mendapati lokasi itu merupakan sebuah kebun kelapa sawit yang berada pada jarak kira-kira satu kilometer (km) dari jalan utama.
"Kawasan itu juga terletak 200 meter dari pesisir pantai Siput, Kampung Bumi Hijau Sungai Air Tawar," jelas beliau
Tambah beliau, Unit Anjing Pengesan (K9) dan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor turut dipanggil ke lokasi itu bagi membantu siasatan.
Sehubungan itu, katanya, orang awam yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga tampil menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi Lyana Mohd Khairani di talian 018-2510452 atau balai polis berdekatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

