Kakak jual popia nestum nak tanggung dua adik

Ahmad Mustaqim menyampaikan sumbangan kepada Madihah Izzati Atiqah sambil disaksikan Natipah (kiri).
Ahmad Mustaqim menyampaikan sumbangan kepada Madihah Izzati Atiqah sambil disaksikan Natipah (kiri).
A
A
A

SUNGAI PETANI – Perceraian ibu bapa sejak 10 tahun lalu mengubah hidup seorang bekas pekerja kilang yang terpaksa memikul tanggungjawab besar menjaga dua adiknya yang masih bersekolah.

Madihah Izzati Atiqah Abdullah, 20, berkata, dia kini bergantung kepada hasil jualan popia nestum bagi menampung keperluan harian bersama adik perempuan berusia 15 tahun sementara adik lelaki berusia 11 tahun ditempatkan di sebuah rumah jagaan anak yatim di daerah ini.

Menurutnya, setiap hari adik perempuannya membawa kira-kira 20 bungkus popia nestum berharga RM1 sebungkus untuk dijual kepada rakan-rakan di sekolah.

“Dalam masa sama, adik perempuan perlu ke hospital setiap bulan kerana ada masalah kesihatan. Sejak akhir-akhir ini lebih pendiam dan suka duduk seorang diri.

"Saya yang selalu teman dia ke hospital jumpa doktor dan terpaksa ambil cuti, akhirnya saya berhenti kerja,” katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia, Natipah Abu di Flat Paya Nahu di sini pada Isnin.

Madihah mengakui buntu memikirkan kos yuran persekolahan, bil utiliti yang tertunggak, bayaran pembiayaan motosikal serta pelbagai keperluan asas lain yang terpaksa ditanggungnya seorang diri.

Tambahnya, bapa mereka kini dipercayai menetap di selatan Semenanjung dan sudah mempunyai keluarga baharu.

“Ibu pula keluar dari rumah sejak tiga tahun lalu, sehingga kini kami tidak tahu ke mana dia pergi. Sejak itu kami tinggal sendiri,” kongsinya.

Sementara itu, Pegawai Zakat Kuala Muda, Ahmad Mustaqim Zainul Abidin berkata, selain bantuan segera, pihaknya akan meneliti permohonan bantuan bulanan bagi meringankan beban ditanggung Madihah.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Public Bank bernombor 4943516418 atas nama Madihah Izzati Atiqah.

Ringkasan AI

  • Perceraian ibu bapa mengubah hidup bekas pekerja kilang menjaga dua adiknya.
  • Bergantung hasil jualan popia nestum untuk menampung keperluan harian.
  • Adik perempuan jual popia di sekolah, adik lelaki kini menetap di rumah jagaan anak yatim.
  • Berhenti kerja untuk menemani adik perempuan berulang ke hospital kerana masalah kesihatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!