BijakWang Challenge 2025 raih pengiktirafan Malaysia Book of Records

BijakWang Challenge 2025, inisiatif literasi kewangan anjuran mySalam menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori 'Cabaran Kuiz Literasi Kewangan Terbesar'.
BijakWang Challenge 2025, inisiatif literasi kewangan anjuran mySalam menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi kategori 'Cabaran Kuiz Literasi Kewangan Terbesar'.
A
A
A

BijakWang Challenge 2025, inisiatif literasi kewangan anjuran mySalam sempena Karnival Celik Kewangan (KCK) Pulau Pinang baru-baru ini mencatat sejarah baharu apabila menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records bagi kategori 'Cabaran Kuiz Literasi Kewangan Terbesar'.

Pengiktirafan susulan penyertaan seramai 4,891 peserta dalam tempoh satu jam melalui platform digital TikTok LIVE dan laman kuiz interaktif Kahoot! dan ia merupakan rekod kedua selepas mencatat rekod 'Siaran Langsung Literasi Kewangan Tanpa Henti Terpanjang' di Tawau pada bulan Julai 2025.

Penganjuran inisiatif tersebut sejajar komitmen berterusan mySalam yang merupakan skim perlindungan takaful nasional untuk komuniti B40 yang diuruskan sepenuhnya Great Eastern Takaful Berhad (GETB) dalam memperkasa masyarakat melalui pendekatan program literasi kewangan secara dinamik dan berimpak tinggi di Malaysia.

Ketua Skim mySalam di Great Eastern Takaful, Syuhaib Ithnin berkata, inisiatif BijakWang Challenge 2025 membuktikan pendidikan kewangan boleh disampaikan dengan cara lebih kreatif dan menarik.

“Pendekatan kuiz secara langsung ini bukan sahaja efektif dalam mendekati para belia malah menjadikan pembelajaran kewangan satu pengalaman yang menyeronokkan, interaktif dan relevan dengan gaya hidup digital masa kini.

"Program berasaskan konsep gamifikasi ini menyasarkan para belia, pelajar universiti dan masyarakat umum menjadikan topik kewangan lebih mudah difahami,” katanya dalam satu kenyataan.

Turut hadir menyaksikan sesi penyerahan sijil pengiktirafan tersebut, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid bersama Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful, Shahrul Azlan Shahriman, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Radzuan Mohamed, Ketua Skim mySalam, Syuhaib Ithnin serta Pengurus Dasar Awam TikTok Malaysia, Mohd Aliffadhli Zakaria.

Pada masa sama, pelaksanaan BijakWang Challenge 2025 turut diperkukuh melalui kerjasama strategik dengan institusi pendidikan tinggi di seluruh negara, seperti USM, UniPSAS, UiTM, UIA, UUM, UniKL, UMT, iCATS Kuching, Politeknik Kota Bharu serta Sekolah Teknik.

Cabaran yang disertai oleh para pelajar berusia 16 tahun ke atas dan warga pendidik ini bukan sahaja mampu memperluaskan capaian literasi kewangan malah memupuk amalan pengurusan kewangan berhemat dalam kalangan generasi muda yang bakal memasuki alam pekerjaan dan menempuh kehidupan berdikari.

Artikel Berkaitan:

Pemenang pertama cabaran BijakWang 2025, Muhammad Safwan Awang Puteh (dua dari kanan).
Pemenang pertama cabaran BijakWang 2025, Muhammad Safwan Awang Puteh (dua dari kanan).

Dalam pada itu, seramai sembilan peserta terbaik yang dipilih berdasarkan keputusan kuiz menerima hadiah dengan nilai keseluruhan sebanyak RM30,000 dan turut menawarkan hadiah istimewa bernilai RM3,000 kepada institusi pendidikan dengan jumlah penyertaan terbanyak, dimenangi oleh Universiti Sains Malaysia.

Pemenang tempat pertama, Muhammad Safwan Awang Puteh berkata, kuiz ini mendorongnya semakin rajin membaca dan mengulang kaji seperti waktu persekolahan dahulu.

“Saya sedar bahawa banyak perkara tentang kewangan yang sebenarnya mudah difahami apabila kita belajar dengan cara menyeronokkan seperti ini,” katanya.

Sementara itu, sebagai pelan jangka panjang, mySalam turut menubuhkan Komuniti BijakWang melalui aplikasi WhatsApp yang kini telah disertai lebih 2,000 ahli.

Ia berperanan sebagai platform perkongsian tip kewangan, makluman perlindungan sosial seperti mySalam dan Perlindungan Tenang serta hebahan aktiviti dan peluang pembelajaran berterusan.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2019, mySalam telah membantu seramai 1.8 juta ahli dengan jumlah bayaran tuntutan mencecah RM1.311 bilion setakat 31 Oktober 2025.

Merujuk kepada pengumuman Belanjawan 2026, skim ini akan dilanjutkan sehingga Disember 2026 sebagai komitmen berterusan pihak kerajaan untuk menyediakan perlindungan kewangan kepada rakyat berpendapatan rendah.

Ringkasan AI

  • BijakWang Challenge 2025, anjuran mySalam, mencatat rekod bagi kategori 'Cabaran Kuiz Literasi Kewangan Terbesar'
  • Penyertaan seramai 4,891 peserta dalam tempoh satu jam melalui platform TikTok LIVE dan Kahoot!
  • Inisiatif ini bertujuan memperkasa masyarakat melalui literasi kewangan, khususnya komuniti B40
  • Pelaksanaan cabaran diperkuat melalui kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi dan sekolah teknik
  • Sembilan peserta terbaik menerima hadiah keseluruhan RM30,000, dengan Universiti Sains Malaysia memenangi hadiah untuk institusi pendidikan dengan penyertaan terbanyak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!