PRN Sabah: GRS lancar manifesto petang ini

KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, petang ini.
Pelancaran itu menjadikan GRS antara parti terawal berbuat demikian selepas Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) melancarkan manifestonya pada 13 November lepas.
Berdasarkan jemputan media, pelancaran akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini bermula jam 2 petang.
Manifesto berkenaan akan dibentangkan Timbalan Setiausaha Agung GRS yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Ali.
Selepas pembentangan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS akan melancarkan manifesto itu.
GRS yang ditubuhkan hampir empat tahun lepas terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).
Pada pilihan raya negeri kali ini, GRS yang bertanding di 55 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mengangkat slogan ‘Rumah Kita. Kita Jaga’.
Armizan sebelum ini berkata, manifesto GRS bagi PRN Sabah ke-17, tidak hanya membawa tawaran baharu, malah turut menampilkan rekod cemerlang pentadbiran kerajaan negeri sejak 2020.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Novemebr ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 dan tarikh pengundian awal 25 November.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php. - Bernama
Ringkasan AI
- Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 petang ini
- Pelancaran dari salah satu parti terawal berbuat demikian selepas Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM)
- Manifesto akan dibentangkan oleh Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Ali di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah
- Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor akan melancarkan manifesto tersebut selepas pembentangan
- GRS bertanding di 55 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan slogan 'Rumah Kita. Kita Jaga'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
