Lebih 500,000 pelajar ambil periksa, Korea Selatan henti semua penerbangan 30 minit

Pelajar menunggu untuk memulakan peperiksaan masuk universiti tahunan di sebuah dewan peperiksaan di Seoul, Korea Selatan. - Agensi
Pelajar menunggu untuk memulakan peperiksaan masuk universiti tahunan di sebuah dewan peperiksaan di Seoul, Korea Selatan. - Agensi
A
A
A

SEOUL – Korea Selatan mengambil langkah luar biasa apabila menghentikan semua penerbangan selama setengah jam ketika lebih 500,000 pelajar menduduki peperiksaan masuk universiti yang dianggap paling mencabar, kata pihak berkuasa pada Jumaat.

Langkah itu bertujuan memastikan tiada gangguan semasa pelajar menghadapi seksyen pemahaman mendengar dalam ujian bahasa Inggeris.

Semua penerbangan termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dilarang berlepas atau mendarat antara 1:05 petang waktu tempatan hingga 1:40 petang waktu tempatan.

Larangan tersebut turut menjejaskan 140 penerbangan melibatkan 65 destinasi antarabangsa.

Calon peperiksaan bagi tahun ini direkodkan seramai 554,174 orang iaitu tertinggi sejak tujuh tahun lalu.

Mereka kebanyakannya lahir pada tahun 2007 yang mencatat lonjakan kelahiran di negara itu.

Peperiksaan selama sembilan jam berkenaan dilihat sangat kompetitif sebagai penentu kejayaan dalam masyarakat Korea Selatan.

Pihak polis bersama pejabat dan pasaran kewangan turut menyesuaikan operasi mereka supaya calon tiba tepat pada masanya.

“Peperiksaan ini adalah matlamat hampir 20 tahun dan juga permulaan baru,” kata seorang ibu yang menunggu anak perempuannya menduduki peperiksaan.

Artikel Berkaitan:

Walaupun menghadapi kadar kelahiran yang rendah dan populasi menua, Korea Selatan mencatat peningkatan kadar kelahiran kepada 0.75 pada tahun 2024. -Agensi

Ringkasan AI

  • Korea Selatan menghentikan semua penerbangan selama setengah jam untuk mengelak gangguan bising semasa pelajar menduduki peperiksaan masuk universiti
  • Langkah luar biasa itu memberi kesan kepada 140 penerbangan melibatkan 65 destinasi antarabangsa
  • Jumlah pelajar yang menduduki peperiksaan tahun ini adalah 554,174, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun
  • Peperiksaan tersebut sangat penting dan dilihat sebagai penentu kejayaan dalam masyarakat Korea Selatan yang kompetitif
  • Pihak polis, pejabat dan pasaran kewangan menyesuaikan jadual kerja mereka untuk memastikan semua pelajar tiba tepat pada masanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!