PRN Sabah: 596 calon bertanding, calon paling tua di DUN Bingkor

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Seramai 596 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) selepas tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi Sabtu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, kesemua calon tersebut akan bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 29 November ini.
"Tiada pencalonan yang ditolak. Bilangan pertandingan mengikut penjuru iaitu empat penjuru di dua DUN, lima penjuru (8), enam penjuru (13), tujuh penjuru (13), tujuh penjuru (10), lapan penjuru (8), sembilan penjuru (10), 10 penjuru (9), 11 penjuru (6), 12 penjuru (2), 13 penjuru (4) dan 14 penjuru (1).
"Calon melibatkan lelaki seramai 525 orang manakala wanita 71 orang. Calon yang bertanding berdasarkan julat umur iaitu berusia 20 hingga 29 tahun terdapat seramai lapan calon, calon berusia 30 hingga 39 tahun (59), calon berusia 40 hingga 49 tahun (146), calon berusia 50 hingga 59 tahun (178) dan calon berusia 60 ke atas (205)
"Umur calon berada di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bingkor dari Parti Kebangsaan Sabah (PKS) iaitu berusia 86 tahun dan calon termuda di DUN Silam dari Parti Kebangsaan Sabah (PKS) berusia 24 tahun," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, kesemua calon hendaklah membayar deposit bahan kempen pilihan raya serta tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang/simbol parti dan gambar pemimpin parti yang diwakilinya.
"Bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding.
"Bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan," katanya.
Ringkasan AI
- Seramai 596 calon disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri
- Tiada pencalonan yang ditolak dengan pertandingan mencapai hingga 14 penjuru
- Majoriti calon adalah lelaki seramai 525 orang sementara wanita berjumlah 71 orang
- Calon termuda berusia 24 tahun dari Parti Kebangsaan Sabah bertanding di DUN Silam dan ter tua berusia 86 tahun juga dari PKS
- Calon diwajibkan membayar deposit dan mematuhi undang-undang dalam penggunaan bahan kempen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
