X

Kindly register in order to view this article
!

Dua daripada tiga lelaki ingkar PKP, rupanya edar dadah

Adzli memantau penjualan ayam dan ikan di pasar awam Taman Keladi hari ini.
A
A

SUNGAI PETANI - Dua daripada tiga lelaki di daerah Kuala Muda yang diperiksa kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rupanya mengambil kesempatan mengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mereka yang berusia dari 26 hingga 33 tahun ditahan di Sungai Petani dan Merbok antara jam 11 malam dan 3 pagi tadi.

"Hasil pemeriksaan ke atas seorang lelaki yang berkeliaran di Merbok pada jam 3 pagi tadi, telah menemui 56 gram dadah disyaki syabu yang belum sempat diedar.

"Pada mulanya suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Seorang lagi lelaki ditahan di Sungai Petani pada awalnya ingkar arahan PKP namun pemeriksaan lanjut menemui 5.5 gram dadah disyaki heroin dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya ketika memantau pergerakan orang ramai di Pasar Awam Taman Keladi, hari ini.

Adzli (dua kanan) memantau aktiviti penjualan di pasar awam Taman Keladi hari ini.
Adzli (dua kanan) memantau aktiviti penjualan di pasar awam Taman Keladi hari ini.

Adzli berkata, tangkapan ketiga pula membabitkan seorang lelaki yang sedang melepak di luar rumah di Bandar Puteri Jaya pada jam 11 malam tadi.

"Ketiga-tiganya disiasat kerana melanggar Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya..

Berdasarkan rekod setakat ini, beliau berkata, sepanjang tempoh PKP, empat individu ditahan di daerah Kuala Muda termasuk kes seorang lelaki yang enggan bersurai ketika diminta beredar kerana menghalang tugas anggota penguat kuasa pada Khamis lalu.

"Kadar pematuhan PKP di daerah ini dianggarkan mencecah 90 peratus," katanya.