MA tubuh jawatankuasa khas pantau tadbir urus

Karim
Karim
A
A
A

PRESIDEN Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim menegaskan bahawa memperkukuh tadbir urus yang telus dan berintegriti menjadi fokus utama pentadbiran MA bagi memastikan organisasi sukan negara terus relevan dan berdaya saing.

Beliau berkata, perhatian dan penelitian terhadap persekutuan kebelakangan ini sepatutnya dilihat sebagai peluang untuk memperbaiki sistem pentadbiran, bukannya dijadikan punca perpecahan.

“Perbezaan pendapat dalam organisasi sukan adalah perkara biasa, tetapi ia perlu disalurkan secara konstruktif bagi memperkukuh MA. Tadbir urus yang baik adalah asas utama untuk memastikan organisasi berfungsi dengan cekap dan adil,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

MA memaklumkan bahawa pindaan perlembagaan badan itu dilakukan melalui tiga pusingan perbincangan di peringkat Majlis sebelum diluluskan sebulat suara dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2024.

Pindaan tersebut kemudian mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Karim menjelaskan bahawa beliau bukan ahli Majlis ketika proses itu berlaku dan tidak terlibat dalam sebarang keputusan atau perbincangan, namun MA menekankan komitmen untuk mematuhi semua prosiding undang-undang yang sedang berjalan.

“Saya sedar perhatian yang diberikan dan saya menerima bahawa tanggungjawab memimpin sebuah badan sukan kebangsaan menuntut ketekunan serta kesedaran tinggi,” katanya.

Karim turut menegaskan bahawa dakwaan kononnya beliau pernah dikenakan larangan seumur hidup oleh Olahraga Dunia adalah tidak benar.

“Saya tidak pernah dilarang seumur hidup seperti yang didakwa. Tuduhan itu palsu dan saya menyimpan semua hak saya bagi membersihkan nama saya,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Fokus MA kini, kata Karim, adalah membina generasi pentadbir muda dan memastikan kesinambungan kepimpinan dalam olahraga Malaysia.

“Saya hanya mempunyai beberapa tahun lagi untuk menyumbang. Saya mahu tempoh itu memberi impak melalui pembangunan pemimpin baharu dan struktur organisasi yang mampan,” katanya.

Justeru katanya, MA giat meneliti cadangan menubuhkan Jawatankuasa Khas Tadbir Urus & Integriti yang dianggotai pakar luar dan bekas atlet bagi menyemak proses dalaman serta memastikan selaras dengan piawaian Olahraga Dunia.

Tambahnya, langkah tersebut dijangka meningkatkan ketelusan, memperkukuh akauntabiliti, dan memastikan organisasi terus dipercayai.

“Tadbir urus yang baik adalah tulang belakang mana-mana sukan yang berjaya. Kami mengalu-alukan semakan bebas kerana institusi yang kuat mesti dibina berasaskan ketelusan, keadilan dan akauntabiliti.

“Ini bukan sekadar slogan, tetapi prinsip yang akan kami pegang demi masa depan olahraga Malaysia,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Karim Ibrahim, menekankan kepentingan tadbir urus yang telus dan berintegriti untuk keberhasilan organisasi
  • Perbezaan pendapat di dalam organisasi harus disalurkan secara konstruktif untuk memperkuatkan organisasi
  • Pindaan perlembagaan MA dilakukan melalui perbincangan di peringkat Majlis dan mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia
  • Karim menyangkal dakwaan bahawa beliau pernah dikenakan larangan seumur hidup oleh Olahraga Dunia
  • MA berfokus pada pembinaan generasi pentadbir muda dan pembentukan Jawatankuasa Khas Tadbir Urus & Integriti untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!