Lelaki maut disambar petir

MELAKA - Seorang lelaki maut akibat disambar petir ketika melakukan kerja-kerja pembinaan di sebuah rumah di Taman Ayer Keroh Height di sini pada Jumaat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, panggilan kecemasan diterima pada jam 2.42 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mangsa, lelaki berusia 20 tahun warga Bangladesh itu terkena sambaran petir ketika berada di atas bumbung.
“PKO (Pasukan Keluaran Operasi) berjaya menurunkan mangsa dari bahagian bumbung.
“Bagaimanapun, mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Katanya, kejadian tidak melibatkan mangsa lain dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.42 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

