Laporan media PERKESO tingkat kepentingan jaringan keselamatan sosial

SHAH ALAM - Laporan media mengenai usaha Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam memperkukuh peranan rehabilitasi sebagai pemangkin kelangsungan sosioekonomi dilihat mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan jaringan keselamatan sosial negara.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pengukuhan peranan itu penting khususnya dalam mendepani kesan perubahan demografi dan menangani jurang perlindungan dalam sektor tidak formal di negara ini.
Ujar beliau, usaha itu turut merangkumi aspek keadilan sosial bagi sektor tidak formal dan ekonomi ihsan, yang mana ia menjadi antara fokus utama penganjuran Anugerah Media PERKESO.
“Dalam ruang lingkup ini, keadilan sosial menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (LINDUNG Kasih) amat penting, namun memerlukan peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Malah, perluasan khidmat rehabilitasi PERKESO menerusi pembangunan kemudahan baharu yang menerapkan teknologi tinggi juga menjadi penentu dalam Malaysia mendepani kesan tsunami emas.
“Di sini peranan media yang mempunyai pengaruh signifikan supaya masyarakat cakna terhadap kepentingan keselamatan sosial dan hak mereka sebagai pencarum,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, majlis penganugerahan bertemakan ‘PERKESO Selamanya Melindungimu’ itu diadakan bagi mengiktiraf pejuang di sebalik naskhah dan terbitan yang bertungkus lumus menyampaikan maklumat penting mengenai perlindungan keselamatan sosial kepada rakyat.
Menurut Steven, anugerah tahun itu menyaksikan sebanyak 115 penyertaan diterima daripada pelbagai platform media yang dihakimi menerusi tujuh kategori pertandingan, iaitu Laporan TV Terbaik, Laporan Radio Terbaik, Podcast Terbaik, Laporan Media Cetak Terbaik, Laporan Portal Berita Terbaik, Laporan Media Digital Terbaik dan Laporan Fotografi Terbaik.
“Anugerah edisi kedua yang bertujuan mengiktiraf sumbangan media tersebut turut mengetengahkan laporan mengenai perluasan fungsi PERKESO menerusi program saringan kesihatan, terutama bagi membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD),” ujarnya.
Steven turut menyifatkan media sebagai kuasa keempat yang mempunyai daya pengaruh berimpak tinggi dalam kalangan masyarakat.
Tambah beliau, kementerian pada minggu lalu selesai membentangkan bacaan pertama bagi Rang Undang-Undang (RUU) Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24/7) dan pindaan bagi menambah baik Skim Insurans Pekerjaan (LINDUNG Kerja).
“Pembentangan LINDUNG 24/7 di bawah Akta 4 dan pindaan LINDUNG Kerja menerusi Akta 800 adalah bertujuan bagi menambah baik faedah kepada orang berinsurans, memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kecekapan pelaksanaan dasar pasaran buruh aktif agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat secara langsung.
“Sehubungan itu, saya harap rakan media terus memberikan sokongan padu melalui liputan dan penyebaran maklumat di pelbagai platform supaya usaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan PERKESO dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial negara dapat difahami serta dihayati oleh rakyat.
“Matlamat akhir kita adalah untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada perlindungan sosial negara,” menurutnya.
Ringkasan AI
- Laporan media PERKESO meningkatkan kesedaran tentang kepentingan keselamatan sosial
- Pengukuhan peranan rehabilitasi PERKESO penting menangani perubahan demografi dan jurang perlindungan di sektor tidak formal
- Keadilan sosial dan ekonomi ihsan menjadi fokus dalam Anugerah Media Pertubuhan Keselamatan Sosial
- Anugerah media mengiktiraf sumbangan dalam mempromosikan kesedaran keselamatan sosial
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

