KWC perkenalkan koleksi pakaian raya 2026, buka peluang borong untuk usahawan

Koleksi Iftar diperagakan sempena Trend Raya 2026, Raya Preview Fashion Show Kuala Lumpur di KWC pada Jumaat. Gambar kecil: Wendy Lam.
Koleksi Iftar diperagakan sempena Trend Raya 2026, Raya Preview Fashion Show Kuala Lumpur di KWC pada Jumaat. Gambar kecil: Wendy Lam.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Lebih 800 outlet di KWC Fashion Wholesale (KWC) menjadi antara yang terawal mempamerkan Koleksi Raya 2026 yang menampilkan rekaan terkini, termasuk gaya moden serta pilihan warna yang menjadi trend utama tahun ini.

Selain menjadi pusat tumpuan pembeli individu dan keluarga, KWC juga terus menawarkan peluang borong kepada pemilik butik, peniaga kecil dan usahawan dalam talian yang mahu memulakan atau mengembangkan perniagaan menjelang musim perayaan.

Pengurus Pengiklanan dan Promosi KWC, Wendy Lam, berkata koleksi rekaan menarik yang menggabungkan elemen tradisional Malaysia dengan sentuhan moden sedia untuk jualan borong, sekali gus memudahkan peniaga, pemilik butik dan pembeli fesyen menempah koleksi perayaan lebih awal.

Menurut Wendy, meskipun dunia perniagaan kini mencabar atas faktor ekonomi dan persaingan perniagaan dalam talian, beliau percaya pengalaman membeli-belah di premis fizikal memberi kelebihan dan lebih menjamin kepuasan kepada pelanggan.

“KWC mempunyai lebih daripada 800 kedai yang menawarkan pelbagai jenis produk fesyen termasuk baju Muslimah, baju moden, aksesori, kosmetik, wangian dan beg tangan.

“KWC berharap lebih ramai pemilik perniagaan dalam talian akan datang untuk mendapatkan barangan bagi butik mereka dan lebih ramai pembeli akan datang untuk membeli-belah.

“Pembelian fizikal di kedai menawarkan kelebihan seperti dapat menyentuh dan mencuba pakaian, menyelesaikan isu saiz atau kualiti dengan mudah, serta pengalaman membeli-belah yang digemari wanita — berbeza dengan risiko dan kekurangan pengalaman dalam talian,” katanya.

Wendy berkata, isu harga tidak menjadi perbandingan utama antara pembelian dalam talian dan secara fizikal.

“Ini kerana KWC sendiri menawarkan barangan dan koleksi pakaian Hari Raya dengan pelbagai kadar harga, sesuai dengan pilihan pelbagai golongan serta kualiti. Ada yang bermula serendah RM10 sehingga lebih RM300,” katanya pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Trend Raya 2026, Raya Preview Fashion Show Kuala Lumpur di sini.

Mengulas lanjut, Wendy berkata Trend Raya 2026 menampilkan pelbagai rekaan fesyen perayaan untuk Hari Raya dan Tahun Baru Cina, termasuk pakaian tradisional, pakaian kasual, abaya, fesyen saiz besar, fesyen kanak-kanak serta rekaan berinspirasikan oriental.

Katanya, sebahagian daripada model merupakan pemenang KWC Model Search 2024 dan 2025, bersama 12 model muda serta persembahan kanak-kanak dengan kerjasama SL Event.

“Raya Preview Fashion Show ini menonjolkan keindahan rekaan fesyen perayaan sambil memberi peluang kepada semua untuk melihat trend raya akan datang.

“KWC sebagai hab fesyen terkemuka Malaysia berbangga berkongsi trend perayaan yang membentuk landskap fesyen tempatan sambil menyokong bakat kreatif,” katanya.

Sehubungan itu, Wendy berkata pihaknya optimis dengan menyasarkan peningkatan sederhana jumlah pengunjung berbanding 400,000 ketika musim-musim perayaan sebelum ini.

Katanya, faktor ekonomi semasa dan perubahan tabiat pengguna menjadi cabaran utama kepada pusat borong serta peniaga kecil.

“Namun, KWC akan terus merancakkan aktiviti termasuk mempertimbangkan lanjutan waktu operasi sepanjang musim perayaan, penganjuran bazar Ramadan dan penambahan kios baharu,” katanya.

Ringkasan AI

  • Lebih 800 outlet di KWC Fashion Wholesale pamerkan Koleksi Raya 2026 dengan rekaan terkini dan tren warna utama
  • KWC menawarkan peluang borong kepada pemilik butik dan usahawan dalam talian untuk persediaan musim perayaan
  • Koleksi Raya menggabungkan elemen tradisional Malaysia dengan sentuhan moden untuk jualan borong
  • KWC memiliki lebih dari 800 kedai yang menjual pelbagai produk fesyen, menjanjikan kelebihan pembelian fizikal berbanding dalam talian
  • Wendy Lam optimis tentang peningkatan pengunjung, meskipun menghadapi cabaran ekonomi dan perubahan tabiat pengguna

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!