Lelaki ditahan di Thailand: Suspek ada empat rekod lampau berkaitan dadah

Hussein
Hussein
A
A
A

PELABUHAN KLANG – Lelaki tempatan yang ditahan pihak berkuasa Thailand bersama 75 kilogram ketamin minggu lalu mempunyai empat rekod lampau serta dipercayai menjadi sebahagian daripada rangkaian pengedaran dadah rentas negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya sedang menyelaras siasatan dengan Thailand untuk mengesan saki-baki ahli rangkaian yang dipercayai bergiat aktif dalam negara.

Beliau berkata, polis kini mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai terlibat dalam sindiket sama.

"Semakan mendapati suspek memiliki empat rekod lampau.

"Selain itu, polis turut mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket sama," katanya ketika mengulas susulan kes berkenaan dalam sidang akhbar di Balai Polis Pelabuhan Klang di sini pada Jumaat.

Katanya, pihak berkuasa Thailand memiliki asas kukuh untuk mendakwa suspek berdasarkan keterangan yang telah dikumpulkan dan proses undang-undang di negara itu sedang berjalan.

"Mengenai kes yang sedang disiasat pihak Thailand, kita menunggu proses undang-undang di negara tersebut, mereka mempunyai keterangan untuk mendakwa suspek di sana.

"Lazimnya bagi kes berkaitan dadah, negara yang membuat tangkapan akan menjalankan pendakwaan, jadi kita menghormati proses undang-undang Thailand," katanya.

Menurutnya, maklumat yang diperoleh dari Thailand turut digunakan PDRM untuk meneliti struktur rangkaian pengedaran dadah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Bagi rangkaian sindiket yang turut beroperasi di Malaysia, PDRM akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya berdasarkan maklumat yang diperoleh," katanya.

Terdahulu, pihak polis sedang mengenal pasti rangkaian sindiket membabitkan seorang lelaki tempatan yang ditahan pihak berkuasa Thailand di negara jiran itu bersama 75 kilogram (kg) dadah jenis ketamin di dalam kereta dipandunya pada Khamis lalu.

Hussein berkata, pihaknya percaya lelaki berusia 25 tahun itu mempunyai rangkaian sindiket di negara ini.

Media Thailand sebelum ini melaporkan suspek ditahan dalam operasi oleh Biro Pembanterasan Narkotik Polis (PNSB) Thailand bersama-sama Polis Wilayah Chumphon di sekatan jalan Mukim Hong Charoen, daerah Tha Sae, Wilayah Chumphon di Selatan Thailand.

 

Ringkasan AI

  • Lelaki tempatan ditahan bersama 75 kilogram ketamin di Thailand memiliki empat rekod lampau
  • Disyaki menjadi sebahagian daripada rangkaian pengedaran dadah rentas negara
  • Polis Malaysia dan Thailand bekerjasama menelusuri rangkaian pengedaran dadah terbabit
  • Pihak berkuasa Thailand memiliki keterangan kukuh untuk mendakwa suspek
  • PDRM akan mengambil tindakan susulan berdasarkan maklumat diperoleh dari Thailand

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!